Pilih Bahasa

DUN Sabah sebulat suara sokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Sejarah tercatat hari ini apabila seluruh ahli Dewan Undangan Negeri Sabah sebulat suara menyokong satu usul persendirian untuk mengisytiharkan persetujuan mereka terhadap pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Usul persendirian di bawah Peraturan Tetap 31(2) yang dibentangkan oleh Adun Karanaan Datuk Masidi Manjun itu merupakan agenda terakhir pada persidangan hari ini.

Datuk Masidi Manjun. Gambar Fail SNT

Walaupun jam sudah menunjukkan hampir 10 malam namun seluruh ahli dewan dan menteri-menteri kabinet kekal menanti usul tergempar itu untuk dibentangkan.

Masidi dalam usulnya berkata Dewan Undangan Negeri Sabah haruslah membuat keputusan untuk meminta ahli parlimen dari Sabah dan juga pemimpin kerajaan negeri untuk terus berunding dengan kerajaan persekutuan supaya pindaan Rang Undang-Undang perlembagaan itu dapat dibentangkan semula.

Katanya pada 9 April lalu, satu pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) telah dibentangkan untuk mengembalikannya kepada peruntukan asal sebelum 1976 yang sekaligus mengembalikan status Sabah setara dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Sarawak.

Tetapi, RUU tersebut tidak dapat diteruskan setelah gagal mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

“Semua ahli Parlimen dari Sabah kecuali satu dari Umno telah menyokong RUU tersebut.

“Hari ini rakyat Sabah melalui Dewan Undangan Negeri perlu menyatakan pendirian mengenai pindaan ini,” ujarnya.

Sememangnya terdapat perbezaan tafsiran namun beliau berkata persoalannya bukanlah tafsiran tetapi ialah apakah mereka yang tidak menyokong pindaan RUU tersebut menyatakan mereka tidak bersetuju Sabah kembali setara dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Masidi juga tidak bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa pindaan RUU tersebut ialah satu perangkap.

“Saya fikir dakwaan itu tidak masuk akal dengan izin, politics is dynamic and in Malaysia it is always ever changing,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata Dewan Undangan Negeri pada hari ini mempunyai tugas untuk memberi mandat kepada ahli-ahli parlimen Sabah serta pemimpin dan pegawai kerajaan supaya meneruskan perjuangan mengembalikan status Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Katanya seluruh ahli dewan undangan negeri Sabah tanpa mengira fahaman politik harus menunjukkan kesatuan dalam menyatakan sokongan terhadap pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Speaker Datuk Syed Abas Syed Ali kemudian membuat ketetapan bahawa usul tersebut melibatkan kepentingan awam maka itu beliau menerimanya untuk dibincangkan.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali (kiri). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Seramai empat Adun iaitu Jamawi Jaafar (Kemabong-Warisan), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Tambunan-Star), Julita Majunki (Matunggong-PBS) dan Datuk Bolkiah Ismail (Pitas-Warisan) mengambil bahagian membahaskan usul tersebut.

Jamawi yang juga ketua penyokong kerajaan Sabah dalam perbahasannya menyeru wakil-wakil rakyat lain supaya turun padang memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Katanya penerangan yang jelas harus diberikan terutama kepada generasi muda atau Gen Y bahawa pindaan RUU tersebut bukanlah sekadar kosmetik seperti yang didakwa.

Jamawi Jaafar. Gambar Fail SNT

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya diadakan satu skop dan dimuatkan dalam satu risalah supaya maklumat yang diedarkan kepada rakyat akan lebih seragam.

Sementara itu Dr Jeffrey menarik perhatian ahli-ahli Dewan kepada Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada apa-apa perubahan boleh dibuat dalam perlembagaan (mengenai Sabah) tanpa mendapat persetujuan daripada Sabah sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adub) Tambunan Datuk Dr Jefrey Kitingan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau juga mencadangkan supaya ayat “Persekutuan Malaysia adalah terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak” dimasukkan di dalam Perkara 1(2).

“Saya percaya dengan memasukkan ayat ini tiada lagi yang tidak jelas (bahawa Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu ada setaraf),” ujarnya.

Pembahas ketiga, Julita Majunki jelas menyampaikan pendirian partinya, Parti Bersatu Sabah mengenai pindaan RUU tersebut.

Julita Majunki ketika membahaskan usul tergempar tersebut. Gambar SNT/Ihsan Youtube streaming DUN

“Kami menyokong pindaan tersebut tetapi ianya bersyarat,” katanya, sambil menambah antara syaratnya ialah supaya selepas diluluskan pindaan tersebut haruslah dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen.

Pembahas terakhir, Datuk Bolkiah Ismail menegaskan bahawa apabila pindaan perlembagaan tersebut diluluskan, semua yang diperjuangkan seperti 20 peratus royalti minyak dan hasil daripada cukai dikembalikan kepada Sabah akan dicapai.

Paling penting ialah penurunan kuasa persekutuan kepada kerajaan Sabah terutama dengan adanya dua kementerian negeri iaitu Pelajaran dan Inovasi serta Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, katanya.

Datuk Bolkiah Ismail. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menyampaikan pendirian kerajaan negeri Sabah bersetuju bahawa kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak jelas.

Maka itu, pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia akan dapat memperjelaskan kedudukan Sabah dan kembali sepertimana sebelum diubah pada 1976, katanya.

“This is fundamental for us in order to reinstate Sabah’s status as one of the signatories,” katanya, sambil menambah segala urusan selanjutnya akan dapat diteruskan sebaik Perkara 1(2) dikembalikan kepada asal.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa membuat pengulungan pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri pada Khamis. Gambar SNT/Ihsan JKM

Menyatakan sokongan kepada usul yang dibentangkan oleh Masidi, Mohd Shafie beri jaminan bahawa kerajaan negeri akan berusaha dan terus berunding dengan kerajaan persekutuan supaya Sabah mendapat hak-hak seperti diperuntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Undi suara kemudian dilakukan dengan sebulat suara bersetuju dengan usul itu.

Speaker kemudian menangguhkan persidangan sine die pada pukul 10.19 malam.-SabahNewsToday