Pilih Bahasa

E-dagang diperkasa bagi membolehkan FTZ dibangunkan di Sabah

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pembangunan ekonomi digital akan terus diperkasa untuk pelaksanaan e-dagang yang akan membolehkan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) diwujudkan di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata pewujudan FTZ di Sabah akan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi syarikat-syarikat yang berlandaskan ekonomi digital memasarkan produk-produk mereka ke pasaran yang lebih luas tanpa sempadan.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. – Gambar Fail SNT

“Dengan penerokaan baharu yang dirancang untuk dibangunkan oleh K.K.I.P Sendirian Berhad, ianya akan memberikan peluang yang besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk mengembangkan perusahaan dan perniagaan mereka.

“Sudah tiba masanya semua pihak sama-sama menjayakan halatuju Kerajaan; agar perindustrian menerajui peningkatan kekukuhan ekonomi Sabah,” ujarnya dalam ucapan penggulungan belanjawan untuk kementerian beliau di Dewan Undangan Negeri di sini kelmarin.

Madius berkata Kerajaan Negeri juga akan terus memohon kepada Kerajaan Persekutuan insentif kawasan kurang membangun atau “Less Developed Area” untuk meliputi seluruh negeri Sabah.

“Pada masa yang sama, kementerian saya juga sedang menjalankan kajian untuk mengenalpasti insentif bukan fiskal untuk pelabur-pelabur datang ke Sabah,” katanya.

Kementerian Perdagangan dan Perindustrian juga sedang menyediakan kertas kabinet untuk mengkaji semula “Quit Rent” pada kadar RM0.25 sekaki persegi secara purata dikenakan ke atas tanah perindustrian di Sabah, katanya.

“Jika dibanding dengan kadar quit rent di negeri-negeri lain, kadar ini merupakan kedua tertinggi.

“Selain daripada itu, kerajaan juga telah memperkenalkan insentif baharu iaitu pengurangan kadar premium yang dikenakan kepada pemberimilikan tanah untuk tujuan industri pembuatan dan tukar syarat guna tanah daripada kegunaan pertanian kepada kegunaan industri pembuatan.

“Kadar premium untuk pemberimilikan tanah untuk tujuan industri pembuatan dikurangkan daripada 70 peratus kepada 60 peratus daripada harga pasaran tanah industri yang belum dibangunkan,” katanya.

Manakala kadar premium tukar syarat guna tanah daripada pertanian kepada industri pembuatan adalah dikurangkan daripada 15 peratus kepada 10 peratus berdasarkan kepada 70 peratus harga pasaran tanah industri yang belum dibangunkan.-SabahNewsToday