Pilih Bahasa

ECO WORLD FOUNDATION BERI ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG UPSR DAN PT3

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Seramai 12 pelajar cemerlang menerima anugerah sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR dan PT3 2018-Program Bantuan Pelajar Eco World Zon Sabah.

10 penerima adalah pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala dua lagi pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Pengerusi Eco World Foundation, Tan Sri Lee Lam Thye (tujuh dari kiri barisan belakang) bergambar dengan semua penerima anugerah cemerlang sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR dan PT3 2018-Program Bantuan Pelajar Eco World Zon Sabah. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Pengerusi Eco World Foundation, Tan Sri Lee Lam Thye berkata pemberian anugerah terbabit bertujuan memberi galakan kepada semua penerima anugerah.

Beliau berkata semua penerima cemerlang berkenaan adalah pelajar di bawah program bantuan pelajar (SAP) Evo World Foundation.

“SAP pula untuk membantu pelajar dari golongan pendapatan rendah tanpa mengira bangsa serta agama.

“Bantuan bukan sahaja disalurkan kepada pelajar pendidikan sekolah rendah malahan sekolah menengah dan peringkat pengajian tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis anugerah terbabit, dekat sini, hari ini.

Pelajar cemerlang UPSR masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM200, Rm150 dan RM100 selain kamus dwi bahasa Oxford serta buku motivasi manakala  anugerah pencapaian PT3, semua penerima menerima wang tunai RM500, RM400 dan RM250 berserta kamus dwi bahasa Oxford serta buku motivasi.

Dalam pada itu, beliau menyatakan pihaknya terus komited membantu semua golongan pelajar memerlukan agar terus mencapai kejayaan.

Sementara itu, Lam Thye berkata beliau menasihatkan semua ibu bapa agar sentiasa memberikan sokongan dan meluangkan masa bersama anak ketika mengulangkaji pelajaran.

Beliau berkata kecemerlangan seseorang pelajar bukan sahaja menerusi pendidikan malahan keperibadian individu.-SabahNews Today