Pilih Bahasa

Ekonomi Sandakan digiatkan semula melalui penubuhan majlis

Frankie Poon. – Gambar fail SNT

SANDAKAN, 1 Jun (Bernama) — Kabinet negeri Sabah memutuskan untuk menubuhkan sebuah majlis untuk memulihkan ekonomi Sandakan.

Dikenali sebagai Majlis Pembangunan Semula Ekonomi Sandakan ia akan dipengerusikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Frankie Poon.

“Di bawah majlis ini, terdapat tiga jawatankuasa kecil – jawatankuasa pemandu, teknikal dan pelaksanaan. 

“Projek akan disahkan oleh jawatankuasa teknikal, yang akan menyerahkan kepada jawatankuasa pelaksanaan yang akan memikirkan kaedah terbaik menjayakan projek itu sebelum merujuk kepada jawatankuasa pemandu untuk dipertimbangkan,” kata Poon pada sidang akhbar di sini hari ini.

Poon, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, berkata jawatankuasa pemandu itu kemudian akan membentangkan pelan itu kepada Kabinet negeri untuk kelulusan.

“Sebaik Kabinet meluluskan, pelaksanaan projek akan dilaksanakan oleh pelbagai kementerian yang berkenaan,” katanya.

Poon juga berkata majlis itu akan turut membincangkan rancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang untuk memastikan kemajuan dalam pembangunan ekonomi Sandakan.

Beliau berkata antara keutamaan dalam pelan jangka pendek, iaitu selama tiga tahun, adalah memanjangkan lagi landasan Lapangan Terbang Sandakan, yang dijangka dimulakan pada tahun ini.

Pelan jangka sederhana dan jangka panjang adalah antara enam dan 10 tahun, katanya.

Poon berkata Sandakan telah ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi dan ini membimbangkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa pilihan raya kecil Parlimen Sandakan bulan lepas.

“Beliau (Mohd Shafie) dengar banyak isu dan mahu semua isu ini diselesaikan segera,” katanya.

— BERNAMA