Pilih Bahasa

Eksklusif: Rondaan udara PGU Sabah kesan aktiviti nelayan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Oleh Mohd Adam Arinin

Salah sebuah bot pemancing yang ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di pesisir laut Felda Sahabat, Lahad Datu. Bot jenis ini adalah tidak dibenarkan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan masuk fasa kedua perlaksanaannya esok, masih terdapat beberapa nelayan yang degil melakukan aktiviti memancing di sekitar perairan Lahad Datu, hari ini. 

Tinjauan eksklusif SabahNewsToday bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah ini diketuai oleh Komander Operasi Superitendan Rizal Izman Mansor dan Asisten Superitendan Peter Anak Francis Rudin selaku kapten penerbangan. 

Turut bersama dalam pesawat jenis Cessna Caravan CE208 itu ialah Pemerhati Udara Sarjan Caroline Justin Abdullah dan seorang pegawai dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Inspektor Abdul Kata Burijin.

Komander Operasi Superitendan Rizal Izman Mansor (kiri) bersama kapten penerbangan Asisten Superitendan Peter Anak Francis Rudin semasa menjalankan rondaan dan pemantauan udara Op Covid-19 di perairan Lahad Datu sehingga ke Semporna. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pesawat yang berlepas dari Pangkalan PGU Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 9 pagi tadi membuat rondaan tugasan rutin pengawasan dan pemantauan dari udara di perairan Lahad Datu berhampiran kawasan Felda Sahabat sehingga Semporna. 

Setelah sejam penerbangan, pesawat memasuki ruang udara Lahad Datu dan seterusnya membuat penerbangan rendah selepas mendapat kebenaran dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Menara Kawalan Udara Lahad Datu. 

Tidak lama kemudian, kelihatan beberapa buah bot pemancing sedang melakukan akitiviti menangkap ikan di pesisir laut Felda Sahabat. 

Combat Boat 90 (CB90) milik Tentera Laut Diraja Malaysia. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pesawat enjin turbo-prop buatan Amerika Syarikat itu kemudiannya diterbangkan rendah pada paras kurang 100 kaki dari aras laut bagi tujuan mengenalpasti, merekod dan merakamkan gambar bot pemancing tersebut. 

Menurut Rizal, bot pemancing tidak berenjin itu adalah tidak dibenarkan untuk berada di laut ketika ini selain daripada bot nelayan Kelas A.

Jenis bot nelayan yang hanya dibenarkan untuk aktiviti menangkap ikan semasa PKP dilaksanakan ketika ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dikuatkuasakan, bot pemancing seperti tadi adalah tidak dibenarkan sama sekali menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Bot tempur RHIB milik Pasukan Polis Marin. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Tujuan kita terbang rendah tadi adalah untuk mendapatkan visual secara jelas dengan mengambil gambar serta maklumat fizikal bot kecil itu yang dipercayai tidak mempunyai lesen dan seterusnya menyalurkan maklumat yang diperoleh kepada bilik gerakan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu untuk tindakan susulan,” katanya selepas melaksanakan penerbangan Op Covid-19 di pangkalan PGU Sabah di sini, hari ini. 

Tambah Rizal, pesawat mengelilingi lokasi bot yang disyaki pemancing tidak berlesen itu beberapa kali sementara menunggu tindakan susulan aset keselamatan di laut. 

Semasa rondaan itu, sebuah bot tempur RHIB milik Pasukan Polis Marin, RH41, dilihat meluncur laju ke lokasi kumpulan bot pemancing selepas mendapat maklumat dari bilik gerakan untuk tindakan selanjutnya.

Pemerhati Udara Sarjan Caroline Justin Abdullah mengukur jarak pada peta semasa pemantauan udara dan rondaan dijalankan. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sebuah aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), CB90 turut kelihatan membuat rondaan rutin di perairan sempadan negara. 

Sementara itu, Komander PGU Sabah Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata pelaksanaan operasi penerbangan ini dibuat setiap hari bermula hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Aplikasi GarminPilot digunakan untuk rujukan juruterbang semasa penerbangan dijalankan. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Penugasan tinjauan udara Op Covid-19 ini adalah bagi menguatkuasakan PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 di seluruh negeri Sabah.

“PGU Sabah amat komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga PGU Sabah kerana telah memberikan kerjasama yang terbaik dalam pasukan,” katanya. – SabahNewsToday