Pilih Bahasa

EL NINO DI SABAH; ELAK BAZIR AIR DAN PEMBAKARAN TERBUKA: AZEMI

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Fenomena El Nino yang sedang berlaku di Sabah ketika ini menyebabkan keadaan cuaca panas dan kekurangan taburan hujan dan ia dijangka berlarutan sehingga Mac atau Mei depan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Azemi Daud berkata ia terjadi berdasarkan tinjauan model-model iklim antarabangsa yang menjangkakan kebarangkalian 90 peratus fenomena ini terjadi sehingga Mac ini dan sebanyak 60 peratus kebarangkalian ia mungkin berlarutan sehingga Mei.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Azemi Daud. Gambar Fail SNT

“Namun, untuk tempoh monsun timur laut yang sedang berlaku ketika ini, hujan masih boleh berlaku dalam tempoh tertentu terutama di bahagian Timur dan Pantai Barat Sabah.

“Kita juga menjangkakan taburan hujan bulanan diantara Januari hingga Mac ini di semua bahagian di negeri ini berkurangan antara 20 hingga 40 peratus,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday, hari ini.

Tambah Azemi, anggaran taburan hujan bulanan tersebut untuk Bahagian Kudat dan Sandakan adalah 100 milimeter hingga 350 milimeter. Sementara anggaran diantara 100 milimeter hingga 200 milimeter di bahagian lain.

“Pihak Jabatan Meteorologi Sabah juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembaziran air dan pembakaran secara terbuka bagi mengelakkan krisis air dan kebakaran belukar.

“Kita juga meminta orang ramai untuk mengurangkan aktiviti luar bagi menjaga kesihatan ketika ini berikutan keadaan cuaca panas,” katanya. -SabahNewsToday