Pilih Bahasa

ELAK AKTIVITI JENAYAH, KIKIS TANGGAPAN NEGATIF KEHIDUPAN DI PULAU GAYA

Oleh Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji (berdiri, enam kiri) merakamkan gambar bersama pegawai polis dan anggota Rapid Team IPD Kota Kinabalu pada Program ‘Community Policing’ di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Program ‘Community Policing’ bersama masyarakat Kampung Lok Urai, Pulau Gaya yang diketuai sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji telah dilaksanakan dengan jayanya hari ini.

Program yang bermula 9 pagi dan berakhir pada sebelah tengah hari itu adalah bertujuan untuk meningkatkan kerjasama diantara penduduk dan polis agar keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di Pulau Gaya sentiasa terjamin.

Habibi berkata selain meningkatkan kerjasama diantara penduduk dengan pihaknya, program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan dirinya kepada penduduk di Kampung Lok Urai sebagai Ketua Polis Daerah yang baru selepas menjawat jawatan tersebut pada 1 Ogos yang lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji diiringi penari kebudayaan ketika hadir di Program ‘Community Policing’ di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

“Pihak polis juga memohon kerjasama penduduk agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah terutama pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Pulau Gaya.

“Kita juga mengharapkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di sini sentiasa terjamin dan berusaha untuk mengikis tanggapan negatif mengenai kehidupan penduduk di Pulau Gaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji bersalaman dengan penduduk ketika hadir di Program ‘Community Policing’ di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

Hadir sama pada program tersebut, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superitendan Geogre Abd Rakman dan semua ketua bahagian dan pegawai kanan polis serta pegawai rendah polis IPD Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kiri) menyerahkan Sijil Penghargaan kepada Ketua Kampung Lok Urai, Jari Alkis pada di Program ‘Community Policing’ di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

Dianggarkan seramai 350 orang penduduk dari lima buah kampung sekitar Pulau Gaya hadir pada program berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berucap pada Program ‘Community Policing’ di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah ceramah pencegahan jenayah yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah (KBPJKKD) Kota Kinabalu, Asisten Superitendan Syahrin Ali dan mengadakan sesi dialog bersama penduduk dengan pihak PDRM untuk membincangkan isu penggunaan Pam Bot yang masih tidak dibenarkan kerana menyalahi undang-undang dan saman lebihan muatan serta tidak menggunakan jaket keselamatan ketika menaiki bot.

Sesi dialog diantara pihak polis dan penduduk kampung pada Program ‘Community Policing’ di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

Pameran kesedaran dari Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Daerah Kota Kinabalu juga diadakan selain daripada Pasukan Polis Marin dan Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik. -SabahNewsToday