Pilih Bahasa

Elak politik dalam berpersatuan: Phoong Jin Tze

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Phoong Jin Zhe meminta semua individu sukan untuk mengelak dan menghentikan politik dalam berpersatuan.

“Saya mahu sukan gantikan politik dalam pentadbiran persatuan sukan,” tegas beliau ditemubual semasa melakukan lawatan ke Makmal Prestasi Manusia di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Univerisit Malaysia Sabah (UMS) untuk melihat pencubaan atlet olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) negeri ini pada Jumaat.

Phoong Jin Tze (tiga kiri) melihat lebih dekat aplikasi sains sukan yang ditunjukkan oleh Dr. Dg. Maryamah (depan kiri) sambil turut disaksikan oleh Mohd. Asneh (belakang dari kanan), Arunarnsin, Dr. Ismail dan Valerie semasa lawatan ke Makmal Prestasi Manusia di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS pada Jumaat. Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

“Sebelum ini kita lihat dalam persatuan mahupun peringkat daerah, terlalu banyak politik. Jurulatih dan atlet tidak berbaik, jurulatih dan persatuan tidak berbaik, mahupun jurulatih dan kerajaan negeri tidak berbaik. Banyak perkara seperti ini berlaku.

“Oleh itu, mari kita berbalik pada suasana sukan yang sebenarnya, semangat kesukanan yang sebenar-benarnya,” kata beliau.

“Kita menilai atlet bukan menerusi perbezaan bangsa, bilangan mahupun nombor, tetapi kita menilai mereka melalui keputusan yang mereka capai.

“Jika kita dapat memansuhkan ketidakadilan dan budaya politik dalam persatuan di negeri ini, saya percaya Sabah mampu mengembalikan semula kegemilangan dan penguasaan kita dalam arena sukan kebangsaan,” jelas beliau penuh harapan.

“Hari ini merupakan permulaan tahap pertama persiapan kita untuk Sukma menerusi kerjasama dengan UMS dalam aspek sains sukan.

“Saya telah melawat dan melihat kemudahan untuk atlet prestasi tinggi yang ada di sini, yang mana boleh melatih dan menganalisa kemampuan atlet, untuk kita menggariskan apa yang perlu dipertingkatkan menjelang Sukma Johor yang akan berlangsung 11-19 Julai 2020,” tambah Jin Tze.

Dr Dg. Maryamah memberi penjelasan ujian atlet kepada Phoong Jin Tze, Asneh dan Arunarnsin semasa lawatan ke Makmal Prestasi Manusia di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS pada Jumaat. Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

“Oleh kerana tinggal kira-kira setahun lagi, kita perlu melakukan ujian secepat yang mungkin dan memulakan latihan penambah-baikkan secara profesional dan saintifik.

“Program ini memerlukan sedikit bantuan kewangan dan saya akan membantu dalam hal ini untuk memastikan atlet kita mendapat bantuan kemudahan terbaik kerana mereka akan mewakili Sabah dan menjadi harapan kita.

“Di Sukma lalu, kita berada pada kedudukan keenam (dengan pencapaian 33 emas, 27 perak, 45 gangsa), dan kita berazam untuk memperbaiki kedudukan dan pencapaian ini di Sukma tahun hadapan,” katanya lagi.

“Hari ini saya melihat beberapa atlet Sukma diuji dan data mereka dianalisa. Ini sangat baik untuk kita memantau dan memberi galakkan bukan sahaja dalam latihan yang sepatutnya mereka jalani, tetapi juga dalam bentuk kebajikan atlet termasuk elaun serta bantuan saintifik. Ini penting untuk memastikan mereka terus berada pada landasan terbaik menjelang Sukma.

“Sains sukan merupakan salah satu aspek yang ingin saya dalami dengan lebih terperinci kerana, sejak kebelakangan ini banyak perkara berubah. Sejak saya mengambil alih kementerian ini, kita menggunakan lebih banyak sains sukan untuk membantu atlet kita,” jelas Jin Tze.

“Saya telah mengarahkan kementerian saya untuk melihat dan meneliti sistem bantuan, perkara melibatkan kewangan dan juga pengurusan untuk memastikan atlet-atlet kita mendapat apa yang seharusnya mereka selayaknya terima, sama ada dari aspek latihan, analisa prestasi, sains sukan dan bantuan-bantuan lain … dan bukannya politik.

“Bukan kerana atlet itu mempunyai hubungan baik dengan jurulatih, mereka akan dimasukkan ke dalam senarai akhir. Ini semua tidak sihat untuk perkembangan sukan kita.

“Kita mahu atlet yang benar-benar telah menunjukkan kemampuan mereka, dan mereka selayaknya terpilih untuk mewakili Sabah,” tegas beliau lagi.

Beliau memberitahu bahawa persiapan negeri ini untuk Sukma sedikit terbelakang dari jadual yang telah dirancang.

“Persiapan kita baharu bermula. Sedikit ketinggalan, tetapi kita yakin untuk kembali pada landasan persiapan mengikut perancangan.

“Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah baharu sahaja mengambil alih persiapan atlet dari persatuan. Ini bermakna kementerian ini perlu menggunakan kewangan tambahan untuk persiapan Sukma, untuk menjaga pelatih-pelatih Sukma kita,” jelasnya.

“Pada Sukma Perak yang lalu, kita hanya melakukan persiapan enam bulan, tetapi kali ini kita memperuntukkan lebih masa. Saya meminta semua atlet untuk memberi sepenuh tumpuan dalam latihan,” .

Dr Dg. Maryamah (belakang dari kanan) memberi penjelasan ujian atlet kepadaPhoong Jin Tze (dari kiri), Valerie, Arunarnsin dan Asneh semasa lawatan ke Makmal Prestasi Manusia di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS pada Jumaat.Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

“Beberapa atlet kita juga berada dalam persiapan Sukan SEA sebelum menghadapi Sukma. Sekalipun mereka berlatih dibawah program kebangsaan, kita masih juga melaksanakan `pemantauan dan pengurusan mikro’,” kata Jin Tze.

Sukan SEA akan berlangsung di Filipina bermula 30 November hingga 11 Disember.

“Ini kerana mereka berlatih jauh di Semenanjung Malaysia, mungkin mereka perlukan bantuan kerana ada diantara mereka datang dari keluarga yang miskin. Oleh itu, saya telah mengarahkan kakitangan kementerian ini untuk kerap merujuk, melihat apa yang mereka perlukan, dan bantu mereka.

“Walaupun kebajikan mereka sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan kerana mereka mewakili negara ke Sukan SEA, tetapi kementerian ini tidak akan duduk begitu sahaja dan membiarkan kerajaan pusat menjaga segala kebajikan mereka,” tambah beliau.

“Dalam masa setahun ini, saya mahu sains sukan dan sikap profesional dilaksanakan dengan telus dan tulus. Saya percaya kita mampu di Sukma kerana kita memiliki ramai bakat,” katanya.

“Saya juga bersyukur dengan bantuan dan kerjasama dari pihak UMS dalam membimbing dan melatih atlet Sukma negeri ini menerusi penggunaan peralatan dan kemudahan latihan sukan prestasi tinggi.

“Ada diantara peralatan yang bernilai RM500,000 dan mencecah harga hampir sejuta ringgit untuk satu unit. Jadi bukan mudah (untuk kita memiliki kemudahan seperti ini).

“Oleh yang demikian, saya amat berterima kasih kita dapat bekerjasama dengan pihak UMS,” kata beliau.

“Saya juga telah meminta pihak MSN Sabah dan UMS untuk meneruskan kerjasama ini bukan sahaja untuk Sukma, tetapi juga untuk latihan berterusan atlet-atlet prestasi tinggi negeri ini.

“Selaku menteri, saya harus memperjuangkan apa yang diperlukan oleh atlet-atlet negeri ini khususnya dalam mendapatkan peruntukan kewangan yang lebih dari kerajaan negeri. Anak-anak ini memerlukan bantuan sebaiknya, dan kita perlu membantu mereka,” ujar Jin Tze.

Hadir sama semasa lawatan itu ialah Pembantu Menteri KBSS Tuan YB. Arunarnsin Taib, Pengarah MSN Sabah; Mohd Asneh Mohd Noor, Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS; Prof. Dr. Ismail Ibrahim, Ketua Koordinator Physical Fitness UMS; Prof. Dr. Dg. Maryamah Ag Daud, Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Acara) MSN Sabah; Valerie Wong. -SabahNewsToday