Pilih Bahasa

ELAK SEBARKAN SURAT WABAK KOLERA DI INANAM

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan kenyataan berhubung pengisytiharan wabak kolera di Inanam.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Christina Rundi surat berkenaan bukan untuk perhatian atau disebarkan kepada orang awam.

Datuk Dr Christina Rundi. Gambar Fail SNT

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika membalas pertanyaan oleh SabahNewsToday melalui pesanan WhatsApp hari ini.

“Surat berkenaan bukanlah untuk pengetahun umum dan saya tidak akan memberikan sebarang komen.

“Saya fikir orang ramai sepatutnya berhenti mengulas mengenai surat yang bukan ditujukan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Surat yang tular di Facbook dan Whatsapp itu adalah sebagai makluman ‘Cholera Alert’ di daerah Kota Kinabalu.

Namun, ia ditujukan kepada pengarah-pengarah Hospital Gleaneagles, Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Sabah, Jesselton Medical Centre dan Refflesia Medical Centre.

Surat tersebut memaklumkan kepada keempat-empat hospital berkenaan terdapat satu wabak Kolera di mukim Inanam yang telah diisytharkan pada 7 Januari.

Antara lain tujuan surat tersebut adalah untuk mengarahkan hospital-hospital yang terlibat untuk meningkatkan pengesanan bagi kes-kes yang mengalami cirit-birit di premis masing-masing.

Menurut surat tersebut, kes berkenaan boleh disyaki sebagai TRO Kolera dan sampel RSVC diambil dan membuat notifikasi sebagai TRO Kolera kepada Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu. -SabahNewsToday