Pilih Bahasa

Elak sikap `ini bukan urusan saya’

Jamawi (kiri) ketika berucap merasmikan Program Ceramah Pencegahan Dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Amboi Kemabong. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

KEMABONG : Masyarakat perlu mengelak sikap ‘ini bukan urusan saya’  sebaliknya bersama memainkan peranan dalam mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dalam komuniti masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar  berkata penglibatan seluruh anggota masyarakat dalam membanteras penagihan dadah sangat penting kerana ia adalah elemen utama dalam menjayakan misi negara bebas dadah.

“Ibu bapa dan keluarga adalah entiti paling kecil dalam masyarakat yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala dadah.

“Ancaman dadah boleh menimpa sesiapa sahaja, ia merentas kawasan bandar dan luar bandar tanpa mengira status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang,” katanya berucap merasmikan Program Ceramah Pencegahan Dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Amboi Kemabong, di sini hari ini.

Program tersebut anjuran bersama AADK, KRT, MPKK Kampung Amboi dan Jabatan Perpaduan Negara (JPN) Cawangan Tenom  

Menurut Jamawi kejayaan membanteras masalah dadah juga memerlukan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh dengan dasar yang relevan berdasarkan amalan terbaik.

‘”Ancaman dadah berbahaya dan bahan yang mengkhayalkan berubah dengan pesat mengikut arus perkembangan teknologi dan cara hidup manusia,” katanya.

“Oleh itu pelaburan sosial perlu dipertingkatkan segera meliputi pendidikan, pembangunan individu dan keluarga, pembangunan rohani dan jasmani serta peningkatan daya tahan dalam semua program dan aktiviti,” katanya.

Jamawi berkata kerajaan melihat perkara itu dengan teliti kerana matlamat untuk mencapai status negara maju akan terbantut jika masalah keruntuhan moral dan sosial menjadi barah dalam kalangan anak-anak muda. – SabahNewsToday