Pilih Bahasa

Empangan Papar akan dibina bagi menampung keperluan TAED, pertambahan populasi

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Projek Empangan Papar akan dibina bagi menampung permintaan bekalan air yang dijangka meningkat akibat penambahan penduduk serta siapnya projek pembangunan Tanjung Aru Eco Development (TAED) kelak.

Kerajaan negeri pimpinan Warisan telah menyatakan bahawa projek pembangunan TAED akan diteruskan kerana ianya memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah.

Peter menyampaikan sijil APC kepada salah seorang penerima dalam majlis APC hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

Dengan jangkaan peningkatan permintaan ini, Jabatan Air harus membuat satu perancangan teliti agar dapat menampung keperluan bekalan air nanti, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony.

Empangan Babagon juga sudah mencapai kapasitinya dan tidak akan berupaya menampung permintaan yang semakin meningkat di kawasan Kota Kinabalu, katanya.

Oleh demikian, menurutnya projek Empangan Papar yang pada “suatu ketika dahulu telah dibantah tetapi bila kita lihat semula kepada keseluruhan aspek” ianya amat diperlukan.

“Kita tahu bahawa di kawasan Papar juga apabila saja berlaku air pasang, loji (rawatan air) di Papar tidak dapat beroperasi disebabkan (kehadiran) air masin.

“Ini amat membimbangkan penduduk di Papar, sebab itulah mereka setuju projek Empangan Papar ini dilaksanakan dengan segera,” katanya semasa merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan meraikan Pesara Tahun 2018 Jabatan Air Sabah di sini pagi tadi.

Peter berkata beliau telah meminta rekabentuk empangan yang akan dibina di kawasan Papar itu diubahsuai agar bertindak sebagai dua dalam satu (2-in-1).

Katanya empangan tersebut akan berupaya menjana 100 kilovolt-amphere (KVA) kuasa elektrik yang boleh menampung keperluan dari Papar sehingga ke Kota Kinabalu.

Menurutnya selepas selesai membayar balik hutang untuk pembinaan Empangan Papar kemungkinan dalam enam hingga tujuh tahun, Kerajaan Negeri bakal mengutip RM500 juta setahun pendapatan daripada empangan ini.

Peter berkata akan mengadakan lawatan ke tapak projek empangan itu akan dibina selepas selesai majlis APC itu nanti untuk membuat tinjauan.

“Kesemua jaringan jalanraya juga kita akan naiktaraf dan kita akan pastikan semua penduduk dinsekitar itu kita ambil kira, kita bantu,” katanya.

Peter mengakui terdapat bantahan daripada penduduk sekitar, terutama dari kawasan Penampang namun beliau difahamkan  rekabentuk empangan ini telah diubahsuai dan akan “dialih ke atas sedikit seperti yang diminta oleh penduduk kawasan Papar.”

“Oleh itu kawasan terlibat tidak lagi masuk kawasan Penampang tetapi sekarang dalam kawasan Papar,” katanya lagi.

“Tetapi seperti saya nyatakan, suka tidak suka, kita kena buat empangan ini oleh kerana ia adalah kaedah paling baik untuk kita.

“Kita berharap Empangan Papar ini kelak akan dapat menyelesaikan masalah air di negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Peter diiringi Pengarah Jabatan Air Ir Amarjit Singh menyampaikan sijil kepada penerima APC Jabatan Air.-SabahNewsToday