Pilih Bahasa

Empangan Papar bukan Empangan Kaiduan: Pantau Penampang

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kekurangan maklumat semasa projek Empangan Papar diumumkan menyebabkan rakyat tidak yakin terhadap projek yang sebenarnya amat diperlukan itu, kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pantau Penampang.

Pengerusi Pantau Penampang Jo Nandu berkata mereka sendiri turut berasa kurang senang dengan cara projek Empangan Papar tersebut diumumkan.

Jo Nandu. Gambar Fail SNT

“Ianya (pengumuman) telah dikendalikan dengan buruk sekali. Bila ianya mula-mula diumumkan tiada langsung disebutkan bagaimana kepentingan orang ramai yang terlibat akan dijaga. Ini amat ganjil dan tidak profesional sekali,” katanya.

Akibat kurang maklumat, terdapat banyak ruang kosong yang kemudiannya telah diisi dengan pelbagai maklumat tidak tepat lalu disebarkan di media sosial.

Jo bersetuju terdapat keperluan bagi pihak kerajaan sekarang terutama kementerian yang terlibat untuk mengadakan sesi dialog mengenai projek pembinaan empangan itu dengan orang ramai terlebih dahulu.

Pihak yang terlibat juga sepatutnya berusaha mengambil langkah menerangkan isu ini daripada pelbagai perspektif kepada orang ramai agar mereka faham tentang kepentingan Empangan Papar dibina, katanya.

Memang benar, ujarnya Kerajaan Negeri terdahulu ada mencadangkan pembinaan sebuah empangan berskala mega iaitu Empangan Kaiduan yang melibatkan pengambilan beberapa kampung dan tanah anak negeri di sekitar kawasan projek.

Namun, katanya Empangan Papar bukan seperti projek yang dicadangkan di Kaiduan dahulu (dan ditolak).

Para Pelapor Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Rapporteur) bersama dengan mantan Adun Moyog Terence Siambun (dua kiri) yang hadir memantau cadangan projek empangan di Kaiduan Penampang yang menerima bantahan penduduk kampung. Gambar SNT/Ihsan Pantau Penampang

“Saya amat arif tentang hal ini kerana saya berada di sana (Kaiduan) pada ketika itu bersama-sama dengan Pelapor Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan Pasukan Petugas Bantah kami pada 14 Disember 2013,” katanya.

“Sayalah yang bertanggungjawab membuat kesedaran online melalui media sosial pada tahun 2008 mengenai cadangan projek Empangan Kaiduan,” katanya.

Menurut Jo empangan yang dicadangkan di Kaiduan itu amat besar sekali sedangkan pada ketika itu Penampang sudah pun mempunyai Empangan Babagon.

“Kita tidak mahu ada dua empangan gergasi di Penampang.”

Bagaimanapun, berbeza dengan cadangan pembinaan empangan di Papar, kerajaan hari ini sebenarnya telah mengambil kira segala aspek penting seperti saiz, lokasi dan bagaimana ianya akan memberi kebaikan kepada rakyat, katanya.

“Malah pihak kerajaan telah memberi penekanan khas dalam mengurangkan kesan projek ini kepada alam sekitar.

“Perjuangan kami berjaya apabila Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) menegaskan projek Empangan Papar tidak akan menyentuh mana-mana kawasan di Penampang.

“Ahli Parlimen Papar dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony (seorang anak watan Papar) turut memberi sokongan untuk projek ini dibina di daerah Papar,” kata Jo.

Mengenai keperluan bagi empangan itu dibina, Jo berkata Sabah kini masih lagi mengalami kekurangan dari segi pembekalan air terawat dan juga bekalan elektrik.

Telah diumumkan bahawa empangan yang dicadang dibina di Papar selain menjadi sumber bekalan air ianya juga mampu menjana kuasa elektrik.

Beliau telah bertemu dengan ramai penduduk di kawasan Papar yang rata-rata mahu satu penyelesaian dibuat untuk mengatasi masalah bekalan air dan juga kekerapan gangguan elektrik.

Isu ini menjadi lebih kritikal memandangkan pekan LNG Kimanis dan pekan baharu Benoni tidak lama lagi akan siap dan akan memerlukan bekalan air dan elektrik yang mencukupi, katanya.

Kerajaan baharu Sabah juga giat mempromosi sektor perindustrian dan menggalakkan pelabur luar datang membina kilang mereka yang akan membantu memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Namun begitu, Sabah mempunyai kadar gangguan elektrik tertinggi di negara dan faktor ini pastinya akan mempengaruhi inisiatif kerajaan dalam sektor perindustrian.

Jo berpendapat kerajaan bukan tidak mempunyai niat untuk mencari jalan penyelesaian menggunakan teknologi hijau yang mesra alam namun kos untuk membawa teknologi masih terlalu mahal dan hanya dapat dicapai sekiranya ekonomi negeri bertambah baik nanti.

Pada ketika ini, Sabah terlebih dahulu memerlukan pelabur datang dan menawarkan pekerjaan kepada rakyat serta membantu mengembangkan ekonomi negeri.

Tanpa bekalan elektrik dan air yang konsisten tidak mungkin pelaburan akan masuk ke negeri ini, ujarnya. – SabahNewsToday