Pilih Bahasa

EMPAT DITAHAN MEMANDU DI BAWAH PENGARUH ALKOHOL

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Empat individu ditahan kerana disyaki positif melebihi paras alkohol dalam darah selepas menjalani saringan nafas kedua dalam Ops Mabuk, di satu lokasi sekatan jalan raya dalam kawasan bandaraya, hari ini.

Keempat-empat individu yang ditahan adalah warganegara tempatan dan berumur antara 32 hingga 57 tahun.

Anggota polis melakukan sekatan jalan ketika Ops Mabuk berkenaan. Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata tangkapan tersebut boleh disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan denda tidak melebihi RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, ketika Ops Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Kinabalu selama empat jam bermula pukul 1 pagi itu telah menahan dan memeriksa 41 kenderaan pelbagai jenis.

Dalam pada itu, seramai 16 orang pemandu melalui ujian nafas dengan menggunakan alat SD2+ yang disiasat di bawah Seksyen 45B(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mendapati lima orang daripadanya positif melalui saringan pertama.

Antara individu yang diperiksa dan melalui ujian nafas dengan menggunakan alat SD2+. Gambar SNT/Ihsan Polis

Habibi berkata, dalam operasi yang sama, pihak polis juga telah mengeluarkan sebanyak lapan keping saman (Pol. 257) atas pelbagai jenis kesalahan di mana kesalahan yang paling tinggi adalah tidak mempunyai lesen memandu sebanyak tiga keping saman.

Katanya penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu-pemandu mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas sterusnya mengelakkan individu memandu semasa di bawah pengaruh alkohol. -SabahNewsToday