Pilih Bahasa

Empat ditahan miliki bakakuk dan rusa hasil buruan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Empat suspek ditahan dipercayai memburu dalam kawasan hutan simpan. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Perhutanan Sabah

TAWAU: Empat lelaki termasuk dua warga asing ditahan oleh Pasukan Khas Jabatan Perhutanan (Protect) dipercayai terbabit dalam kegiatan memburu dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Rara, kira-kira  60 kilometer (km) dari Bandar Tawau pada Rabu lalu. 

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan di dalam kenderaan pacuan empat roda dipercayai baru selesai memburu kira-kira pukul 12 malam. 

“Ketika pemeriksaan dijalankan, kita menemukan seekor rusa yang sudah mati dipercayai ditembak berada di ruang belakang  kenderaan. 

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan senapang buatan sendiri jenis bakakuk dan beberapa butir peluru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bakakuk dan beberapa butir peluru dirampas. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Perhutanan Sabah

Tambah beliau lagi kesemua suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut. 

Katanta kes tersebut disiasat mengikut Enakmen Perlindungan Hidupan Liar 1997 kerana memburu binatang tanpa permit yang sah dan Akta Senjata Api 1960 bagi kesalahan memiliki senjata api buatan sendiri. 

Mengulas lanjut Manshor berkata operasi yang dijalankan Jabatan Perhutanan adalah usaha berterusan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang dalam kawasan hutan simpan.

Seekor rusa ditemukan di ruang belakang pacuan empat roda dipercayai hasil buruan suspek. – Gambar SNT/Jabatan Perhutanan Sabah

“Memburu adalah dilarang dalam kawasan hutan simpan malah Jabatan Hidupan Liar sendiri pun tidak akan memberikan sebarang permit kepada individu untuk menjalankan kegiatan itu. 

“Binatang liar adalah sebahagian daripada khazanah negara dan perlu dilindungi terutamanya yang berada dalam kawasan hutan simpan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai agar tidak terbabit dalam kegiatan memburu secara haram terutamanya dalam kawasan hutan simpan kerana pihak kami tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap individu yang didapati bersalah. – SabahNewsToday