Pilih Bahasa

EMPAT HILANG BERHAMPIRAN LOKASI TEKONG DITEMBAK DI PERAIRAN KINABATANGAN – OMAR

Oleh Mohd Adam Arinin

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah menyerahkan sijil penghargaan kepada anggotanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pihak polis hari ini mengesahkan empat individu hilang berhampiran dengan bot tunda Magtrans 2 yang diserang empat lelaki bersenjata di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan petang Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kejadian dikesan selepas pasukan keselamatan menemukan sebuah bot nelayan berhampiran lokasi kejadian bot tunda Magtrans 2.

“Selepas berlaku serangan dari kumpulan lelaki bersenjata ke atas bot tunda di perairan Pegasus Reef, pasukan keselamatan pergi ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan telah menemukan sebuah bot nelayan dengan enjin yang masih hidup.

“Namun pasukan keselamatan kita tidak menemukan individu diatas bot nelayan terbabit dan pada masa yang sama laporan daripada pemilik yang memaklumkan tekong serta tiga nelayan yang berada diatas bot miliknya dikhuatiri hilang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pagi tadi.

Menurut Omar, dua daripada mereka adalah warga tempatan manakala dua lagi warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun dan beliau tidak dapat memastikan sama ada bot tunda terbabit diserang terlebih dahulu atau sebelum tekong dan nelayan itu hilang.

“Siasatan terperinci kini masih dijalankan bagi memastikan sama ada empat nelayan yang hilang ini dilarikan kumpulan bersenjata yang menembak bot tunda Magtrans 2 atau sebaliknya.

Bot tunda Magtrans 2 yang naiki oleh lelaki lengkap bersenjata di Pegasus Reef, Kinabatangan. Gambar SNT/Ehsan Sumber

“Dan kita akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran berhubung kes ini,” katanya.

Kira-kira pada jam 6.30 petang kelmarin, bot tunda yang dalam pelayaran dari arah Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea untuk mengambil kayu balak diserang empat lelaki di perairan Pegagus Reef, Kinabatangan dan turut melepaskan dua das tembakan secara rambang.

Tekong yang terkena tembakan di paha kiri kelmarin. Gambar Fail SNT

Satu tembakan telah mencederakan bahagian paha kiri tekong bot tunda terbabit yang dikenali sebagai Didy Saviady, 40, dan kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Empat suspek bertopeng lengkap bersenjata rifle M16 itu melarikan diri sebaik mangsa melepaskan 10 das tembakan ‘flare gun’ ke arah mereka. -SabahNewsToday