Pilih Bahasa

Empat individu dijangkiti Covid-19 disahkan sembuh

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KUALA LUMPUR: Seramai empat individu yang dijangkiti novel Coronavirus 2019 (Covid-19) disahkan disembuh dan dibenarkan pulang hari ini setelah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh pada 24 Januari lalu kerana dikesan positif Covid-19.

Jumlah itu menjadikan kes Covid-19 yang telah sembuh dan dibenarkan pulang sehingga kini adalah tujuh orang daripada 19 individu yang dijangkiti penyakit itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keempat-empat individu itu mempunyai hubungan rapat kepada kes pertama yang dilaporkan di Singapura dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

“Keempat-empat mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan Covid-19 yang dijalankan menunjukkan hasil ujian sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif.

“Kerajaan Malaysia ingin mengucapkan tahniah kepada semua anggota kesihatan dan perubatan yang telah berusaha menguruskan kesemua kes ini sehingga mereka sembuh dan dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Berhubung Kluster Penyakit Covid-19 di sini, hari ini.

Mengenai situasi terkini jangkitan Covid-19, Wan Azizah berkata tiada pertambahan kes baharu dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga kekal sebanyak 19 kes.

Beliau memberitahu sembilan kes dalam kalangan individu sedang disiasat (PUI), lapan kes dalam kalangan hubungan rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Daripada 19 kes itu juga, beliau menjelaskan seramai 13 adalah warga China manakala enam adalah rakyat Malaysia.

“Aktiviti pengesanan individu yang mempunyai hubungan rapat masih diteruskan bagi mengenalpasti mereka. Setakat ini sebanyak 239 kontak rapat telah dikenalpasti dan jumlah ini akan bertambah sehingga pengesanan ini selesai.

“Kesemua individu yang mempunyai hubungan rapat yang telah dikesan ini telah diambil sampel dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata Jabatan Imigresen Malaysia telah melaporkan bahawa terdapat percubaan/permohonan untuk berlabuh daripada dua buah kapal persiaran daripada Hong Kong (Kapal Westerdam dan Kapal Sapphire Princess). 

Kapal Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam (13 Februari) manakala Sapphire Princess telah selamat berlabuh di Singapura.

Katanya, kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal asing yang seumpama untuk berlabuh di mana-mana perairan Malaysia jika enggan berkongsi maklumat-maklumat penting yang diperlukan pihak berkuasa Malaysia.

Berhubung peningkatan mendadak jumlah kes positif Covid-19 di China, beliau berkata pihak berkuasa China menerangkan bahawa perkara itu adalah disebabkan perubahan definisi kes positif Covid-19 bagi Wilayah Hubei. 

“Terkini, mana-mana pesakit di Wilayah Hubei yang menunjukkan kesemua gejala klinikal Covid-19 tetapi belum disahkan positif melalui ujian makmal adalah dikategorikan sebagai kes yang positif (Clinically diagnosed cases).

“Bagaimanapun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) jumlah pesakit yang disahkan positif Covid-19 di luar negara China tidak menunjukkan peningkatan kes yang mendadak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa inisiatif daripada kerajaan terutama pihak berkuasa sahaja tidak akan memberikan kesan jika tidak mendapat kerjasama erat daripada masyarakat.

Tambah beliau, kerajaan memohon agar orang ramai melaporkan kepada hospital atau klinik kesihatan berhampiran jika mereka atau orang kenali baharu sahaja kembali dari Wuhan atau negara China amnya atau mempunyai sebarang interaksi langsung atau tidak langsung dengan individu dari wilayah atau negara-negara yang terjejas dengan Covid-19. – SabahNewsToday