Pilih Bahasa

EMPAT JALAN RAYA DI KOTA KINABALU JADI TUMPUAN OP SELAMAT 14: HABIBI

Oleh Mohd Adam Arinin

Habibi Majinji (tengah) bersalaman bersama pengguna jalan raya pada Majlis Pelancaran OP Selamat 14 Peringkat IPD Kota Kinabalu di Jalan Tunku Abdul Rahman. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Empat jalan raya di daerah ini menjadi tumpuan dalam pelaksanaan Op Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina berikutan sering kali berlakunya kemalangan.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata jalan tersebut adalah Jalan Lintas, Kalan Tuaran Bypassa, Jalan Kepayan dan Jalan Tun Fuad.

“Saya telah mengarahkan pegawai dan anggota polis trafik untuk berada di empat lokasi ini dan membuat rondaan serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pesalah trafik yang melakukan kesalahan ketika berada di jalan.

Habibi Majinji (kiri) berbual bersama pengguna jalan raya pada Majlis Pelancaran OP Selamat 14 Peringkat IPD Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Seramai 60 pegawai dan anggota terlibat dalam pelaksanaan Op Selamat kali ini termasuk rondaan keselamatan di kawasan perumahan bagi mengelakkan jenayah pecah rumah berlaku,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat 14 Peringkat IPD Kota Kinabalu di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Habibi berkata sehingga kini pihak polis hanya meluluskan permit pungutan derma awam kepada lapan persatuan tarian singa dan naga sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Di Kota Kinabalu, terdapat banyak persatuan seperti ini beroperasi di daerah ini dan mereka perlu mendapatkan permit polis terlebih dahalu jika persembahan mereka melibatkan pungutan derma awam,” katanya. – SabahNewsToday