Pilih Bahasa

Empat keluarga hilang tempat tinggal

Oleh Junaidi Ladjana

MEMBAKUT: Empat keluarga hilang tempat tingal selepas rumah mereka di Kampung Lumantak, Jalan Bambangan di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.47 pagi.

Pasukan bomba ketika operasi memadam api yang membakar empat buah rumah di Kampung Lumantak, Membakut. – Gambar SNT

Katanya sebuah jentera bersama 14 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan api kebakaran.

“Menurut komander operasi, kebakaran membabitkan empat rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 743 meter persegi yang musnah 100 peratus.

Rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Lumantak, Membakut. – Gambar SNT

“Tindakan operasi pemadaman menggunakan sumber air tertutup dan sumber air terbuka daripada sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 8.32 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Katanya anggota berjaya menyelamatkan tiga rumah yang berhampiran.

“Kebakaran ini tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.30 pagi selepas pasukan operasi melakukan pemeriksaan akhir untuk memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetus bahaya kebakaran,” katanya. – SabahNewsToday