Pilih Bahasa

Empat lelaki dicekup miliki dadah syabu

Oleh Junaidi Ladjana

Empat lelaki ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Kampung kuala Papar, Papar. – Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

PAPAR: Empat lelaki ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu dalam operasi di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Papar, di sini semalam.

Serbuan pada pukul 9 malam itu, dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik(BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata semua suspek ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kampung berkenaan.

“Polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 6.30 gram daripada salah satu suspek yang ditahan.

“Semua suspek ditahan dan dibawa balik ke IPD Papar untuk soal siasat serta tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Batholomew berkata pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun itu positif dadah jenis Methapetamine dan Amphetamine.

Ujarnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah.

“Kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah,” katanya. – SabahNewsToday