Pilih Bahasa

Empat lelaki ditahan seludup masuk 220 ekor buaya

Oleh Nasrawati Syarifuddin

220 ekor buaya ditemui di hutan bakau Kampung Pasir Putih Tawau – Gambar SNT/JHLS Tawau

TAWAU: Empat lelaki termasuk dua pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Indonesia ditahan disyaki menyeludup masuk 220 ekor buaya di kawasan hutan bakau Kampung Pasir Putih, di sini hari ini.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Bahagian Tawau, Sailun Aris berkata operasi yang dijalankan JHL bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada pukul 10.30 pagi dijalankan hasil risikan dan maklumat awam. 

“Hasil pemeriksaan mendapati, dua suspek adalah warganegara Indonesia manakala dua lagi warga tempatan. 

“Ketika pemeriksaan dilakukan di kawasan bakau berkenaan, kita menemui 220 ekor buaya yang disimpan di dalam karung. Lima ekor buaya daripadanya ditemui sudah mati,”katanya ketika dihubungi SabahNewsToday.

Buaya dipercayai diseludup dari negara jiran, Indonesia. – Gambar SNT/Ihsan JHLS Tawau

Beliau berkata semua suspek berusia 55 hingga 61 tahun itu membawa buaya terbabit dari negara Indonesia menaiki bot. 

Katanya kes ini dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket atau urus niaga jual beli haiwan terbabit.

Bagaimanapun Sailun berkata siasatan masih diteruskan dan semua suspek sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. – SabahNewsToday