Pilih Bahasa

EMPAT LELAKI WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI KHAS POLIS MARIN LABUAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Anggota Pasukan Polis Marin Labuan membuat pemeriksaan ke atas dua warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di kawasan laut Petronas Methanol. – Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Labuan

LABUAN: Pasukan Polis Marin Wilayah Persekutuan Labuan menahan empat lelaki menerusi tiga tangkapan berasingan dalam Op Gelora serta Op Landai Khas, di sini semalam.

Tangkapan pertama membabitkan dua lelaki yang ditahan di kawasan laut Pulau Enoe ketika Op Gelora yang dijalankan bermula pada 7.30 sehingga 9 pagi.

Komendar Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan mendapati terdapat seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri bertindak sebagai juragan dan seorang anak perahu pemegang pas lawatan sosial IMM13 berumur 25 tahun.

Dua warga asing ditahan di anggota Pasukan Polis Marin Labuan di kawasan laut Pulau Enoe ketika Op Gelora, semalam. – Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Labuan

“Juragan bot memberikan salinan lesen perikanan namun lesen terbabit sudah tamat tempoh.

“Semua nelayan warga asing ini ditahan bersama bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan kira-kira 70 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM19,510,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki pandatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki sebuah bot di kawasan laut Petronas Methanol Labuan ketika operasi sama.

Sebanyak 70 kilogram ikan dirampas anggota Pasukan Polis Marin Labuan dalam tangkapan membabitkan dua warga asing di kawasan laut Pulau Enoe. – Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Labuan

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan itu, lelaki berusia 22 tahun berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah selain mengaku baru sebulan bekerja sebagai anak perahu di bot nelayan terbabit.

Sementara itu dalam Op Landai Khas, anggota Pasukan Polis Marin Labuan menangkap seorang lelaki  asing berumur 20 tahun.

“Lelaki ini ditahan atas kesalahan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan berada di kawasan tebing laut Ujung Pasir Wilayah Persekutuan ini sewaktu penahanan dilaksanakan.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11 (1) (b) Akta Perikanan 1985. – SabahNewsToday