Pilih Bahasa

Empat ‘road bully’ ditahan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PAPAR: Empat lelaki tempatan berusia antara 14 hingga 26 tahun disyaki sebagai ‘road bully’ atau samseng jalanraya ditahan polis dalam kejadian di Jalan Papar-Kota Kinabalu, Melinsung, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, mangsa berumur lingkungan 20an dalam perjalanan daripada Beaufort ke Kota Kinabalu diekori sekumpulan lelaki terbabit yang menaiki kereta Perodua Kenari berwarna putih berikutan selisih faham semasa memandu di jalanraya.

Suspek samseng jalanraya ditahan polis Papar. Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata suspek kemudiannya mengekori mangsa sehingga ke Jalan Bukit Melinsung, Papar sebelum memintas kenderaan mangsa mengakibatkan mangsa terpaksa memberhentikan kenderaannya di tengah jalan.

“Semua suspek turun dari kereta dinaiki dan  memecahkan cermin hadapan kenderaan mangsa menggunakan alat pembuka tayar. Mangsa berasa takut lalu melarikan diri.

“Bagaimanapun, empat lelaki berkenaan berjaya ditangkap sekitar jam 10.15 malam hari sama ketika unit rondaan MPV IPD Papar sedang membuat rondaan di sekitar kawasan Pejabat Pos Pekan Papar,” katanya menerusi kenyataan media, dekat sini, hari ini.

Batholomew berkata semua suspek terbabit dibawa ke IPD Papar bagi proses siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan. -SabahNews Today