Pilih Bahasa

Empat suspek samun bersenjata, curi dan pecah rumah diberkas polis

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Kasim Muda menunjukkan 13 motosikal yang dirampas pihak polis. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

BELURAN: Empat lelaki warganegara Indonesia yang aktif dalam kes samun bersenjata, mencuri dan pecah rumah sekitar kawasan Paitan hingga ke Telupid berjaya diberkas polis. 

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata semua suspek berusia 20 hingga 31 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan pada 29 hingga 30 September.

Kasim Muda menunjukkan antara barangan hasil curi empat suspek. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Ketika ditahan dua samurai dan selaras senapang guli berjaya dirampas daripada suspek dan polis turut merampas 13 motosikal termasuk beberapa hasil barang curi kumpulan itu.

“Kumpulan terbabit aktif melakukan pelbagai jenayah di banyak kawasan seperti Telupid, Sapi Nangoh dan Paitan,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran di sini, hari ini.

Kasim muda (tiga dari kiri) menunjukkan senapan guli buatan suspek dan beberapa senjata tajam yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Beliau percaya kumpulan penjenayah itu terbabit dengan kira-kira 14 kes jenayah di sekitar daerah Beluran.

Menurut Kasim polis juga sedang memburu tiga lagi suspek disyaki ahli kumpulan itu yang masih bebas. 

Katanya semua suspek turut didapati positif dadah dan kini ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – SabahNewsToday