Pilih Bahasa

EMPAT WANITA WARGA ASING DITAHAN CUBA SELUDUP MASUK PERAIRAN NEGERI

Oleh Mohd Nazllie Zainul

SANDAKAN: Empat wanita warga asing dipercayai warganegara Filipina ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini ketika cuba menyelinap masuk ke perairan negeri, awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar 230 pagi itu, semua wanita berusia antara 41 sehingga 65 tahun berkenaan ditangkap ketika berada di perairan Tanjung Aru.

Empat wanita warga asing ditahan Pasukan Polis Marin Sandakan ketika cuba menyeludup masuk ke perairan Sandakan, awal pagi semalam. Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Sandakan

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata empat pendatang asing tanpa (PATI) berkenaan dikesan menaiki bot laju dalam keadaan mencurigakan iaitu bergerak perlahan dari arah laut lepas dengan haluan bot menuju ke arah kampung Tanjung Aru.

Mohamad Pajeri berkata menyedari kehadiran pihak polis, bot terbabit terus memecut laju sebelum pasukan botronda PSC 13 PPM mengejar bot laju berkenaaan sehingga bot itu hilang kawalan sebelum terkandas di kawasan pantai.

Sebuah bot laju dirampas Pasukan Polis Marin Sandakan dalam kejadian cubaan seludup masuk empat wanita warga asing di perairan Sandakan, semalam. Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Sandakan

“Kita melihat beberapa individu termasuk juragan bot melarikan diri ke dalam hutan bakau berhampiran dan tidak dapat dikesan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas empat wanita dewasa yang berada di dalam bot mendapati mereka disyaki migran tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta mengaku secara lisan datang dari negara Filipina untuk masuk ke negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan pihaknya merampas bot laju bernilai RM60,000 dan semua rampasan serta PATI berkenaandibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1956/63. -SabahNews Today