Pilih Bahasa

Enakmen kawal kemasukan peguam Syarie bukan dari Sabah diluluskan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan dua Rang Undang-Undang antaranya Enakmen Mahkamah Syariah (Pindaan) 2019 bertujuan mengawal kemasukan peguam syarie bukan dari Sabah beramal di negeri ini.

Satu lagi undang-undang yang diluluskan ialah Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Pindaan) 2019.

Datuk Aidi Mokhtar. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Kedua-dua enakmen berkuatkuasa pada 20 Mei ini.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar ketika membentangkan RUU tersebut berkata cadangan pindaan ke atas Seksyen 32 subseksyen (3) dan (4) itu bertujuan mengawal penerimaan masuk Peguam-Peguam Syarie beramal di Sabah bagi mewakili mana-mana pihak dalam apa-apa prosiding di Mahkamah Syariah.

Selain itu katanya pindaan itu juga dibuat bagi mengawal penerimaan masuk peguam syarie yang bukan berasal dari Sabah hanya untuk kes-kes tertentu sahaja mengikut budi bicara Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah.

Katanya cadangan itu diselaraskan dengan amalan yang dibuat di Mahkamah Sivil Sabah di bawah Ordinan Peguambela Sabah 1954 (Bab 2).

Pewujudan subseksyen (7) yang baharu adalah bagi memperuntukan penalti ke atas pelanggaran subseksyen (6) kepada Seksyen 32.

Sementara itu cadangan pindaan ke atas Seksyen 11(1)(a) dan Seksyen 11(1)(b) Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004 (No.5 Tahun 2004) di bawah Fasal 2 (dua) akan menyeragamkan gelaran jawatan-jawatan yang digunakan kebanyakan Majlis Agama Islam di Malaysia.

Cadangan pindaan ke atas Seksyen 17 Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004 di bawah Fasal 3 dan Fasal 4 melibatkan pengasingan penyandang bagi jawatan Setiausaha MUIS dan jawatan Pengarah Hal Ehwal Islam Negeri Sabah yang mana pada masa ini dipegang oleh seorang penyandang atau pegawai. – SabahNewsToday