Pilih Bahasa

Enam ditahan terbabit dadah di Papar

Oleh Junaidi Ladjana

PAPAR: Enam lelaki warga tempatan ditahan selepas didapati terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu operasi di sekitar daerah ini, tengah malam semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 malam dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar yang mengenal pasti lokasi berkenaan sebagai salah satu kawasan tumpuan jenayah narkotik.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata semua suspek ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kampung berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu positif dadah.

“Tiga suspek ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu manakala tiga lagi positif dadah.

“Polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 0.75 gram,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Batholomew berkata semua suspek ditahan dan dibawa balik ke IPD Papar untuk soal siasat serta tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha IPD Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini boleh disalurkan pihak polis untuk tindakan segera. – SabahNewsToday