Pilih Bahasa

Enam ditahan, tiga lagi masih diburu kes pergaduhan di Terminal Bas Tawau

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Polis menahan enam lelaki dan memburu tiga lagi suspek bagi membantu siasatan kes merusuh menggunakan kayu di Terminal Bas Jalan Stephen Tan, dekat sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Suspek berusia 15 hingga 26 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini susulan laporan polis yang dibuat mangsa di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, pukul 6.40 pagi tadi dan rakaman video pergaduhan berdurasi lebih dua minit itu turut tular di media sosial sejak semalam. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian berlaku ketika mangsa berusia 17 tahun sedang dalam keadaan mabuk pergi mendekati salah seorang suspek yang berada di tandas stesen bas berkenaan lalu bertindak menarik rantai leher milik suspek hingga putus.

“Suspek kemudian mengadu kepada abangnya berhubung kejadian itu sebelum datang bertemu dengan mangsa untuk mendapatkan penjelasan. 

“Mangsa bertindak menumbuk abang suspek mengunakan tangan sebelum tumbukan itu di balas oleh suspek dengan memukul mangsa menggunakan kayu. 

“Empat rakan mangsa yang berada di tempat kejadian cuba membantu dengan meredakan keadaan namun berlaku pergaduhan beramai-ramai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Peter berkata mangsa menerima rawatan di Hospital Besar Tawau dan mengalami kecederaan di bahagian telinga kiri. 

Menurut beliau polis masih memburu tiga lagi suspek dikenali sebagai Andy, Maman dan Ehsan berusia 16 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

Katanya semua suspek direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata kayu. – SabahNewsToday