Pilih Bahasa

ENAM KUMPULAN ROCK BAND TEMPATAN BAKAL GEGARKAN ROCKNEO‘18

Oleh Alfred Petrus

Rich (kiri) bergambar bersama wakil-wakil dari setiap kumpulan rock band yang bakal membuat persembahan di pentas ROCKNEO‘18. -Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Sebanyak enam kumpulan rock band Sabah bakal menggegarkan pentas konsert rock ROCKNEO’18 pada 23 September ini.

Konsert ROCKNEO’18 yang julung kalinya diadakan itu akan berlangsung di pentas Drum Asia Live KK, Pusat Membeli-Belah Oceanus Waterfront bermula jam 5 petang.

Pengurus Acara Richael Gimbang atau lebih dikenali sebagai Rich Estranged berkata, ROCKNEO’18 adalah konsert rock yang akan menggabungkan beberapa kumpulan band tempatan terbaik di seluruh Sabah.

“Memang tidak dinafikan, Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan bakat dalam bidang muzik dan pada kali ini, band-band yang akan ditampilkan datang dari tempat-tempat yang berbeza di sini.

Rich (kiri) berucap pada sidang media konsert ROCKNEO‘18 di sini hari ini. -Gambar SNT/Alfred Petrus

“Terdapat dua buah band yang berasal dari daerah Keningau iaitu, Suistereo dan Buzzing Joker, manakala band-band yang lain semuanya berasal dari daerah Kota Kinabalu seperti B.O.I.L, The Jethroes, Chugs on Deck dan Me Gusta!!.

“Untuk konsert yang akan datang ini, para penonton akan dihiburkan dengan persembahan dalam genre rock yang pelbagai iaitu daripada ‘post-grunge’ dan ‘alternative post-rock’ ke genre ‘indie rock’ dan ‘stoner rock’. Ini sudah pastinya merupakan satu acara yang tidak boleh dilepaskan,” katanya dalam satu sidang media Konsert ROCKNEO’18 di sini hari ini.

Katanya, matlamat konsert berkenaan dijalankan adalah untuk mengetengahkan bakat-bakat para pemuzik di Sabah melalui pertunjukan konsert-konsert seumpama itu.

Jelasnya, dengan menyediakan pentas dan platform kepada mereka, serta membolehkan masyarakat setempat untuk menghargai muzik-muzik tempatan, beliau percaya muzik yang baik perlu dikongsikan bersama melalui persembahan secara langsung.

Sementara itu, tambahnya, bagi penganjuran ROCKNEO’18, beliau tidak mencari kelainan dalam mengadakan konsert-konsert seumpama itu.

“Ini kerana, sesiapa sahaja boleh mengajurkan konsert. Dan kita tidak perlu mencari kelainan daripada konsert lain.

“Tetapi apa yang kita lakukan adalah mengumpulkan kumpulan rock band yang akan menyanyikan lagu-lagu mereka sendiri dan sebuah lagu bukan ciptaan mereka,” jelasnya.

Tiket masuk ke konsert berkenaan boleh diperolehi melalui Music Monster Academy, Kepayan Point atau band-band yang akan membuat persembahan pada malam tersebut. -SabahNewsToday