Pilih Bahasa

Enam lagi rekod baharu dicipta dalam acara olahraga pada hari terakhir Saga IX

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Olahraga melakar kecemerlangan pada hari terakhir acara tersebut apabila meleburkan enam lagi rekod baharu daripada 15 acara yang dipertandingkan pada Sukan Sabah (Saga) IX kali ini.

Ia menjadikan keseluruhan sebanyak 13 rekod baharu dicipta sepanjang saingan olahraga yang berlangsung pada 9 hingga 12 Disember di Kompleks Sukan Nabawan.

Pelari jarak jauh Kota Kinabalu, Romieo Gomboh meraikan kejayaannya yang meraih emas dan melakar dua rekod Saga IX. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Enam rekod tersebut adalah menerusi acara akhir 1500 meter lelaki, lompat kijang lelaki, merejam lembing wanita, lontar peluru lelaki, 400 meter wanita dan 5000 m lelaki.

Atlet Kota Kinabalu, Romieo Gomboh yang meraih emas acara 1500 mencatat 4 minit 17.7 saat sekaligus meleburkan pencapaian 4:21.88s milik Mohammad Erwan Amir dari Sandakan pada 2017.

Gaya tersendiri atlet merejam lembing lelaki pada Saga IX di Kompleks Sukan Nabawan. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Pingat perak acara tersebut diraih Firdaus Mohd Zamri (Kudat) dengan masa 4:20.4s manakala Calvin Rowell Rompog (Tuaran) pula mencatat 4:21.0s.

Romieo turut cemerlang apabila meraih emas dan mencatat rekod baharu kejohanan dalam acara 5000 dengan catatan 16:37.40s. Romieo memadam rekod milik Mohamed Faizal Rahmatullah iaitu 17:52.56s (2017).

Salah seorang peserta akhir kategori lontar peluru wanita. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Bagi kategori wanita acara 1500m pula dimenangi pelari tuan rumah, Hizillawanty Jamain (5:13.8s), Daveiyn Joyce Hobalan dari Beaufort (perak) dengan masa 5:15.0s dan Suzianah Emil (Kota Marudu) 5:29.2s.

Rekod baharu kedua Saga IX dilakar atlet lompat kijang lelaki iaitu Muhammad Sunik Muslimin yang melakukan lompatan emas sejauh 15.13m untuk memadam rekod dicipta El Said Abdel Aziz iaitu 15.03m pada 2013.

Aksi atlet lompat kijang wanita dalam acara akhir olahraga Saga IX. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Dua atlet Ranau iaitu Alvin Roland (14.09m) dan Frankie Faison Petrus (13.69m) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Atlet wanita merejam lembing iaitu Olivia Da Onidian Jainis yang mewakili Ranau pula bukan sekadar memenangi emas tetapi turut mencipta nama sebagai penyumbang rekod kejohanan baharu saga IX selepas melakukan rejaman sejauh 37.12m.

Menariknya Olivia memadamkan rekod ciptaannya sendiri yang dilakukannya iairu 35.93m dua tahun lalu. Perak bagi acara ini dimenangi Mary Jane Juberin dari Keningau (34.56m) dan gangsa pula diraih wakil Kota Belud, Fikriah Mohd Razi (31.03m).

Dalam acara melontar peluru, Mirach Han dari Tawau membuat lontaran emas sejauh 13.35m untuk rekod baharu keempat sekaligus memadam rekod 12.71m yang dicipta atlet Ranau, Max Anzi Jietol pada 2011.

Ivern Lee Lucian (Tuaran) dan Elson Edward Wong (Papar) berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa dengan catatan 12.23m dan 11.52m.

Acara akhir 4x400m wanita dimenangi kuartet Tawau. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Sementara itu pelari Tawau, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas memenangi emas dan mencipta rekod baharu 56.26s dalam acara 400m, manakala perak dan gangsa dimenangi pelari Beaufort iaitu Cemellia Jasten (60.59s) dan Sharifah Aisyah Rofina Mohammad dari Sandakan (63.20s).

Dalam pada itu emas bagi acara 4x400m wanita dimenangi kuartet Tawau dengan masa 4:13.25s. Mereka menewaskan Tuaran (4:18.06s) dan Sandakan (4:19.25s) yang meraih perak dan gangsa dalam acara tersebut.

Kategori lelaki pula emas menjadi milik kuartet Kota Kinabalu dengan masa 3:28.37s manakala perak dan gangsa diraih atlet Kota Marudu (3:29.68s) dan Tawau (3:29.83s). – SabahNewsToday