Pilih Bahasa

Enam lelaki termasuk tiga pelajar ditahan kerana disyaki rogol pelajar tingkatan tiga

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis menahan enam lelaki termasuk tiga pelajar sekolah menengah bagi membantu siasatan berhubung laporan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga yang mendakwa dirogol oleh semua lelaki terbabit, kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku pada Oktober lalu apabila mangsa ketika itu pergi ke Perpustakaan Papar dan terserempak dengan enam lelaki dan seorang dikenali mangsa, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. Gambar Fail SNT/Mohd Adam Arinin

Mangsa kemudian berborak bersama semua suspek sebelum seorang daripada mereka mengajak mangsa menaiki sebuah kereta untuk pergi ke padang bola berhampiran Balai Polis Papar.

Ketika berada di dalam kereta, seorang daripada kumpulan itu memberi minuman kepada mangsa dan tidak lama selepas meneguk air dalam botol mineral yang penutupnya dibuka, mangsa berasa sakit kepala dan tidak sedarkan diri.

Kira-kira jam 10 malam, ketika sedar, mangsa dapati masih berpakaian dan berada di dalam kereta di padang bola berdekatan dengan balai polis berkenaan.

Mangsa hanya menyedari dirinya disyaki dirogol selepas diugut oleh seorang kenalan perempuannya yang mana meminta mangsa menemuinya dan sekiranya enggan, kenalannya itu akan tular gambar mangsa dirogol beramai-ramai.

Mangsa mendakwa tidak dapat mengingati kejadian sebenar dan hanya mengetahui lokasi kejadian adalah di pantai Tanjung Aru berdasarkan daripada kenalannya itu.

Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 10.11 malam, 19 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan laporan itu, semua suspek berusia 15 hingga 27 tahun itu ditahan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu antara jam 2 hingga 4 petang, kelmarin.

“Siasatan masih diteruskan dan semua suspek direman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya. -SabahNewsToday