Pilih Bahasa

Enam nelayan Vietnam ditahan, 1 tan balat dirampas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Bot nelayan bertindak memecut laju sejurus selepas menyedari kehadiran pihak Maritim Malaysia. Gambar SNT / Maritim Malaysia

SANDAKAN: Enam nelayan warganegara Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia disyaki menceroboh dan merompak hasil laut menggunakan peralatan diharamkan Jabatan Perikanan berhampiran laut Kinabatangan, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 9.55 malam itu, semua suspek berusia 27 hingga 44 tahun dipercayai menggunakan alat diperbuat daripada besi yang direka khas bagi menangkap kira-kira 1,000 kilogram balat.

Antara nelayan warganegara Vietnam yang ditahan. Gambar SNT / Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata pihaknya yang sedang menjalankan rondaan mengesan sebuah bot mencurigakan.

Beliau berkata ketika cuba dihampiri bot nelayan terbabit bertindak memecut laju menuju ke laut Kinabatan Besar.

Antara balat yang ditangkap. Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

Bagaimanapun bot berkenaan berjaya dipintas selepas kejar-mengejar bot suspek berlaku kira-kira 50 minit.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot terbabit turut menceroboh perairan Malaysia tanpa kebenaran menjalankan aktiviti menangkap balat (gamat) secara haram dengan menggunakan peralatan besi direka khas yang ditarik sehingga sampai ke dasar laut hingga mengakibatkan kerosakkan ekosistem terutamanya terumbu karang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid menunjukkan alatan yang digunakan suspek bagi menangkap balat. Gambar SNT / Ihsan Maritim Malaysia

Beliau berkata balat termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai RM285,000 dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat dibawah Akta perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. -SabahNewsToday