Pilih Bahasa

ENAM NELAYAN WARGANEGARA INDONESIA DITAHAN MENUNDA IKAN DI KAWASAN LARANGAN

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Enam lelaki warganegara Indonesia ditahan bersama 80 kilogram ikan pelbagai jenis di perairan pantai Tinagat, Batu 6, Jalan Apas, di sini, pukul 8 pagi, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata, pihaknya menahan semua suspek berusia 25 hingga 40 tahun selepas dikesan menjalankan aktiviti menunda ikan dalam kawasan larangan kurang dua batu nautika dari persisir pantai.

Pemeriksaan mendapati, kira-kira 80 kilogram ikan pelbagai jenis di temui di dalam bot nelayan terbabit. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

“Ketika menjalankan tugas Operasi Gelora di perairan daerah ini, kita berjaya mengesan sebuah bot nelayan yang sedang leka menjalankan aktiviti menunda ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan terbabit dipenuhi kira-kira 80 kg ikan pelbagai jenis dan telah menjalankan aktiviti menunda ikan di kawasan larangan,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek warganegara Indonesia ditahan manakala bot serta ikan pelbagai jenis dirampas.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perikanan 1985,” katanya. – SabahNewsToday