Pilih Bahasa

Enam Palauh seludup masuk enjin pam dari Indonesia ditahan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Cubaan enam lelaki Palauh seludup masuk empat enjin pam bernilai lebih RM27,000 tanpa dokumen sah gagal, selepas Pasukan Polis Marin (PPM) memintas bot dinaiki, di laut Kampung Sum Sum, di sini pagi kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asistan Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot yang dinaiki suspek berusia 40 hingga 60 tahun ditahan dalam Operasi Pensura kira-kira pukul 3 pagi di perairan terbabit hasil maklumat Unit Risikan Marin (URM).

Empat enjin pam bernilai lebih RM27,000 dipercayai dibeli dari Tarakan Indonesia. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

“Hasil pemeriksaan di dalam ruangan bot terbabit, kita menemukan empat enjin pelbagai jenama tanpa dokumen yang sah.

“Soal siasat awal mendapati, suspek mengaku membeli enjin pam berkenaan dari Tarakan, Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Semua suspek ditahan kerana cuba seludup masuk enjin pam tanpa dokumen sah dibawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

Beliau berkata suspek ditahan manakala semua enjin berkenaan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu cuba mengangkut apa-apa barang berduti atau tidak berkastam,” katanya. – SabahNewsToday