Pilih Bahasa

ENAM PASUKAN BERENTAP REBUT PIALA PENGARAH PENJARA NEGERI SABAH DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pengarah Penjara Tawau, Faisal Mohamed Noor. – Gambar SNT / Ihsan Penjara Tawau

TAWAU : Sebanyak enam pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 15 hingga 17 Mac ini.

Pengarah Penjara Tawau, Faisal Mohamed Noor berkata kejohanan itu akan disertai oleh pasukan dari Jabatan Penjara di seluruh Sabah.

Katanya kejohanan yang akan berlangsung di Padang Penjara Tawau itu akan dirasmikan penutupannya oleh Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Timbalan Komisioner Penjara, Suria Idris.

“Selain mempergiatkan lagi mutu permainan, kejohanan ini juga diadakan bagi mencari bakat baharu dalam kalangan pemain bola sepak Jabatan Penjara Malaysia. 

“Saya berharap melalui kejohanan itu, kita akan dapat memilih wakil Penjara Sabah ke Kejohanan Bola Sepak Piala Tan Sri Murad dan kejohanan yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Katanya para pemenang akan menerima Piala Pusingan, medal dan wang tunai selain menyediakan hadiah bagi penjaring terbanyak, pasukan terbaik dan pemain terbaik. – SabahNewsToday