Pilih Bahasa

Enam pondok polis dan satu balai polis di Sabah dinaik taraf

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Sebanyak enam pondok polis dan satu balai polis di Sabah bakal dinaik taraf secara berperingkat dalam tempoh lima hingga enam bulan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata pondok polis yang akan dinaik taraf kepada balai polis itu adalah di Paitan, Tagas-Tagas, Sukau, Matunggong, Pangi dan Sri Indah.

Mazlan (tengah) ketika sidang media selepas Istiadat Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Bagi balai polis di Putatan akan dinaik taraf daripada kategori D kepada B dan ia sedang dalam perancangan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan.

“Antaranya penambahan perjawatan dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima hingga enam bulan,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Yang turut hadir ialah isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Pada majlis itu juga, seramai 585 orang menerima Pingat Jasa Pahlawan.

Mazlan berkata bagi menyahut seruan daripada Polis Kontinjen Sabah, pihaknya akan menaik taraf perjawatan Ketua Polis Daerah (KPD) di Penampang dan Semporna.

“Untuk Penampang perjawatan KPD dinaik taraf daripada Deputi Superintendan (DSP) kepada Superintendan (Supt) manakala Semporna daripada Supt kepada Asisten Komisioner (ACP).

‘Ia akan dilaksanakan dalam masa lima ke enam bulan,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai ura-ura perpindahan pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) daripada Lahad Datu ke Sandakan, Mazlan berkata ia hanya diperingkat perancangan dan apa sahaja dilakukan adalah untuk memantapkan sistem keselamatan di pantai timur Sabah. -SabahNewsToday