Pilih Bahasa

Enam remaja ditahan terbabit pecah rumah di Kudat

Oleh Junaidi Ladjana

KUDAT: Sekumpulan enam remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun ditahan selepas didapati terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini, semalam.

Keenam-enam remaja tempatan itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat di rumah masing-masing dalam serbuan bermula jam 2 pagi hingga 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata bertindak atas maklumat pihaknya berjaya menahan semua enam remaja yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah.

Katanya siasatan mendapati semua suspek remaja terbabit sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah di sekitar perumahan di pinggir bandar Kudat.

“Siasatan awal mendapati kumpulan remaja berkenaan mengaku memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni untuk mengambil wang tunai dan barangan kecil yang berharga.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti sama ada kumpulan remaja ini berkait dengan beberapa lagi kes yang dilaporkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Firdaus berkata dengan penahanan semua suspek terbabit, polis turut merampas barang jam tangan berjenama dipercayai dicuri.

“Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat,” katanya. – SabahNewsToday