Pilih Bahasa

Enam sekeluarga maut ditembak di perairan selatan Filipina

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun maut selepas dipercayai ditembak sekumpulan individu dalam kejadian di perairan selatan Filipina.

Mayat semua mangsa dari Pulau Denawan, Semporna ditemui oleh saudara mereka di Siasi, selatan Filipina, selepas curiga mangsa belum tiba di Siasi, pada 6 November lalu.

Mayat enam sekeluarga yang maut di tembak di perairan selatan Filipina. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Mayat semua mangsa kemudian dibawa balik pada 7 November sebelum dikebumikan kelmarin di pulau berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata kejadian itu berlaku pada 5 November lalu yang mana lapan sekeluarga dikatakan dalam perjalanan menyambut Maulidur Rasul bersama keluarga di Siasi, selatan Filipina.

“Lapan sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berumur antara lapan tahun hingga 50-an menaiki bot dari Pulau Denawan, Semporna menuju ke Siasi, selatan Filipina untuk menyambut Maulidur Rasul di sana.

“Ketika dalam perjalanan waktu malam, mangsa dikatakan dihampiri bot yang dinaiki sekumpulan individu lalu melepaskan tembakan ke arah mereka.

“Tembakan itu menyebabkan enam maut termasuk seorang kanak-kanak manakala dua individu selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, motif kejadian dipercayai balas dendam kerana semua barangan termasuk wang tunai milik mangsa tidak hilang.

“Siasatan mendapati semua mangsa yang menetap di Pulau Denawan, Semporna tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Siasatan masih diteruskan,” katanya.-SabahNewsToday