Pilih Bahasa

Enam sekeluarga mengaku tidak bersalah pukul guru tabika kemas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Enam sekeluarga didakwa di Mahkamah Majistret Semporna hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas dengan cara memukul menggunakan senjata seperti kerusi, 21 Oktober lalu.

Tertuduh Kinnau Ampong, 62, Elly Zurinah Abdul Wahab, 40, Mohd Nasuha Abdul Wahab, 29, Mohd Nizam Afiq Abdul Wahab, 18, Sufian Maizin, 32, dan Abdul Wahab L Saad, 65 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Semporna, Amir Shah Amir Hassan.

Kelihatan keenam-enam tertuduh bersama peguam keluar dari bilik perbicaraan Mahkamah Semporna. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Mengikut kertas pertuduhan pertama, keenam-enam tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Faujiah Piong, 35, dengan cara memukul menggunakan senjata seperti kerusi di dalam kelas Tabika Kemas, Kampung Sungai Buaya, kira-kira jam 8 pagi, 21 Oktober lalu.

Sementara itu Mohd Nasuha, Mohd Nizam Afiq dan Sufian turut mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan kedua dibacakan atas dakwaan dengan niat mencabul kehormatan mangsa di lokasi dan masa yang sama.

Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 dan 354 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mahkamah Semporna. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Tertuduh boleh dipenjara dalam tempoh tiga tahun (pertuduhan pertama) dan 10 tahun (pertuduhan kedua), denda, sebat atau mana-mana dua hukuman yang disenaraikan.

Amir Shah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan masing-masing seorang penjamin tempatan dan menetapkan 20 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Kes pendakwaan terhadap semua pertuduhan itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Jamal Tampak.

Keluarga mangsa turut melantik peguam pemerhati bagi kes itu yang diwakili Mohd Luqman Syazwan Zabidi bagi mengelak ketirisan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam yang enggan namanya didedahkan.

Terdahulu Sabah News Today melaporkan enam sekeluarga termasuk dua wanita ditahan polis bagi membantu siasatan kes menyerang seorang guru sekolah Tabika Kemas, Kampung Buaya, dekat sini, 21 Oktober lalu.

Penahanan semua suspek berusia 18 hingga 62 itu dibuat susulan kenyataan yang dikeluarkan mangsa yang menceritakan kejadian dirinya diserang oleh keluarga terbabit tular di media sosial sehingga mendapat 2,500 ribu perkongsian dan 1,900 maklum balas daripada netizen. – SabahNewsToday