Pilih Bahasa

Enam suspek terbabit kes pembunuhan gajah pygmy Borneo direman empat hari

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Enam suspek dibawa keluar oleh pihak polis dan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) dari Mahkamah Majistret selepas tempoh tahanan reman empat hari dikeluarkan. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Enam suspek membabitkan kes pembunuhan kejam gajah pygmy Borneo di Kalabakan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. 

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ferhansyah Farene Mohd Ferdaus selepas dipohon oleh pegawai penyiasat Inspektor Azlinda Buang.

Suspek berusia antara 48 hingga 68 tahun itu dibawa ke Mahkamah Tawau kira-kira 8.30 pagi tadi sambil dikawal oleh anggota dan pegawai dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Terdahulu semua suspek lelaki  termasuk seorang warga asing itu ditahan dalam serbuan berasingan di kawasan Felda Umas, dekat sini.

Dalam serbuan itu polis merampas senjata api jenis pump gun buatan Iver Johnson Single Barrel 30 senapang Raifal buatan sendiri jenama Sharp Innova dan senapang patah buatan sendiri (bakakuk). 

Turut dirampas, sembilan butir peluru hidup jenis Gb Buckshot warna putih, 47 kelongsong peluru jenis Mega Oob warna hijau, tiga butir kelongsong peluru jenis Rimba warna biru dan sebutir kelongsong peluru jenis Gb Buckshot warna hitam. 

Polis turut merampas gading gajah yang ditanam dan disembunyikan salah seorang daripada suspek. – SabahNewsToday