Pilih Bahasa

Esscom rampas 3,500 bungkus rokok seludup

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Rokok seludup pelbagai jenama yang ditemui anggota Esscom di pantai Cowie Bay Jalan Tawau Lama. – Gambar SNT/Ihsan Esscom

TAWAU: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) merampas 3,500 bungkus rokok bebas cukai dipercayai diseludup masuk dari Indonesia di perairan Cowie Bay Jalan Tawau lama, semalam. 

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata bertindak atas maklumat orang ramai, pihaknya melakukan pemeriksaan pada pukul 10.40 malam di lokasi terbabit yang disyaki digunakan penyeludup untuk aktiviti pemunggahan barang-barang seludup.

“Ketika tiba di lokasi, kelihatan beberapa individu sedang menurunkan bungkusan hitam dari dalam bot laju disyaki rokok seludup. 

“Apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan, juragan bot berkenaan bertindak mengundurkan bot dan melarikan diri dengan memecut menuju ke arah laut tanpa dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di kawasan terbabit dan menemui 14 bungkusan hitam yang ditinggalkan suspek. 

Tambah beliau lagi pemeriksaan lanjut anggota Esscom ke atas bungkusan berkenaan menemui sebanyak 3,500 bungkus rokok seludup pelbagai jenama. 

Katanya semua barangan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – SabahNewsToday