Pilih Bahasa

ESSCom tahan lelaki bersama 46,040 kotak rokok, 486 botol minuman keras seludup di Sandakan

SANDAKAN, 22 Jun (Bernama) — Seorang lelaki ditahan bersama 46,040 kotak rokok dan 486 botol minuman keras yang disyaki tidak dibayar cukai kastam di sini petang semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan hari ini berkata dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, suspek warga tempatan berusia 53 tahun diberkas oleh sepasukan anggota ESSCom yang sedang melakukan operasi khas di sebuah rumah di Taman Tinosa di sini.

“Hasil maklumat orang awam, sepasukan tujuh anggota ESSCom telah membuat pemeriksaan dan serbuan di kawasan tempat tinggal suspek sebelum menemui pelbagai jenis rokok dan minuman keras seludup yang disembunyikan di sebuah bilik rumah berkenaan.

“Saya percaya rokok-rokok ini cuba diseludup dari Indonesia untuk dipasarkan ke kawasan pantai timur Sabah, khususnya di Sandakan berdasarkan kepada modus operandi dan pengakuan suspek,” katanya.

Hazani berkata turut dirampas ialah sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu yang disyaki turut digunakan dalam aktiviti penyeludupan.

Menurutnya, suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk tindakan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut, Hazani berkata ESSCom akan sentiasa memperketatkan kawalan, terutama di kawasan yang disyaki menjadi laluan penjenayah dan kemasukan pendatang asing tanpa izin.

“Pihak ESSCom akan mengadakan operasi khas secara berterusan dalam usaha untuk mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi serta aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya

— BERNAMA