Pilih Bahasa

ESSCOM TINGKAT KESELAMATAN PERAIRAN ESSZONE MELALUI PEMERKASAAN PEMANTAU UDARA SECARA BERSEPADU

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) melalui bahagian operasi udara akan menggerakkan usaha mempertingkatkan tahap keselamatan di Zon Selamat timur Sabah (Esszone) dengan memperkasa pemantauan dan kawalan udara secara bersepadu.

Ketua Staf Bahagian Udara Esscom Brig. Jen. Ayub Khan Mohamad Khan berkata inisiatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pesawat-pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpangkalan di pantai timur Sabah.

Ayub Khan (tengah) merakamkan album kenangan sebelum mempengerusikan mesyuarat operasi pemantauan udara di bilik mesyuarat Esscom. Gambar SNT/Ihsan Esscom

Antaranya seperti Pesawat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui penggunaan helikopter Fennec TLDM daripada KD Sri Semporna, helikopter Nuri TUDM di Tawau dan helikopter Agusta dari Skuadron  881 Pangkalan Udara Tentera Darat (PUTD) di Sandakan.

Manakala dua lagi pesawat iaitu pesawat Hawk dan pesawat B200T masing-masing didatangkan dari 6 Skuadron dan 16 Skuadron yang beroperasi dari pangkalan Udara Labuan turut dikerahkan.

Beliau berkata langkah ini penting bertujuan mengenalpasti sebarang pencerobohan dan kemasukan anasir-anasir luar yang boleh mengganggu gugat keselamatan serta ketenteraman awam di kawasan pantai timur Sabah.

Ayub Khan (enam dari kiri) merakamkan album kenangan bersama dengan ahli-ahli mesyuarat operasi pemantauan udara di Esszone yang terdiri daripada wakil-wakil detachmen pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Gambar SNT/Ihsan Esscom

Ini khususnya di kawasan persempadanan perairan yang berhampiran dengan sempadan perairan Malaysia dan Filipina, tambah beliau.

“Langkah drastik Esscon ini juga bertujuan untuk membanteras segala jenis elemen jenayah rentas sempadan (KFR) yang sering kali menjadikan kawasan Esszone sebagai “staging point” untuk melakukan jenayah-jenayah seperti penyeludupan manusia dan barang-barang kawalan serta dan penculikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat operasi pemantau udara bersama dengan Detachment pesawat Angkatan Tentera Malaysia, di Pejabat Esscom di sini hari ini.

Menurut Ayub Khan lagi, operasi udara yang dilaksanakan ini adalah sebagai pelengkap kepada operasi-operasi lain yang sentiasa dilaksanakan oleh bahagian-bahagian lain di dalam Esscom seperti Operasi Bersepadu, Operasi Gasak dan Operasi Gasak Laut.

Ayub Khan mempengerusikan mesyuarat. Gambar SNT/Ihsan Esscom

Tambahnya lagi inisiatif ini juga sebagai satu pendekatan strategik untuk meningkatkan kehadiran dan keberadaan atau “show of presence” pasukan keselamatan khasnya aset-aset udara yang berpangkalan di Esszone di lokasi-lokasi tertentu bagi menunjukkan kesiapsiagaan pasukan udara dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua detachment pesawat ATM yang terdiri daripada pesawat-pesawat TUDM, TLDM dan PUTD yang terus menyokong dan memberikan komitmen padu secara berterusan kepada pasukan Udara Esscom dalam usaha kita untuk mempertingkatkan lagi tahap keselamatan dan ketenteraman di pantai timur Sabah,” katanya.

“Dengan kerjasama ini, secara tidak langsung ianya akan dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan pantai timur Sabah bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia khususnya komuniti maritim yang tinggal di kawasan pantai timur Sabah serta pelancong asing yang berkunjung ke negeri ini akan sentiasa merasa selamat tanpa diselubungi oleh perasaan takut ataupun bimbang mengenai tahap keselamatan mereka semasa berada di Esszone,’ katanya.-SabahNewsToday