Pilih Bahasa

Esszone impak besar kepada sektor keselamatan di Sabah

Oleh Zakaria Damit

Mohd Azis (tengah) disambut oleh penduduk setempat di Masjid Jamek Kampung Likas. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Sepanggar

KOTA KINABALU: Kewujudan mekanisme Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone) memberi impak positif kepada keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata ini membabitkan rekod penurunan kadar jenayah sebanyak 70 peratus pada 2017 berbanding tahun lalu.

Katanya, peningkatan tahap keselamatan di Esszone secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan ekonomi Sabah khususnya melalui peningkatan kemasukan pelancong ke negeri ini. 

“Kawasan pantai timur Sabah sangat terdedah kepada ancaman keganasan, ekstremisme, penyeludupan migran, pencerobohan dan kedaulatan perairan Sabah di samping isu pendatang asing tanpa Izin (PTI).

“Kita bukan sahaja mengharapkan kepada pasukan keselamatan membabitkan APMM, PDRM dan ATM bagi melaksanakan tugas mengawal keselamatan di pantai timur Sabah,” katanya sempena program penerangan nilai murni Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Masjid Jamek Likas di sini hari ini.

Mohd Azis ketika berucap di Masjid Jamek Kampung Likas. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Sepanggar

Mohd Azis berkata, KDN juga menggunakan anggota sukarelawan Rela untuk membantu pasukan keselamatan untuk melaksanakan rondaan keselamatan.

Ini melibatkan sebanyak 33 lokasi sempadan darat Sabah dan Sarawak sekaligus sempadan berhampiran  Indonesia bagi menangani isu PTI serta pencerobohan di negeri ini.

Menurutnya KDN menggerakkan mekanisma Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing (JKPWAS) dipengerusikan KDN dan kerajaan Sabah dalam usaha menangani isu dokumentasi pengenalan diri penduduk di Sabah.

“Ini termasuklah mengatasi isu dokumen kelahiran dengan kerjasama pihak Konsular negara asing yang berkaitan sekaligus berusaha menangani isu PTI di Sabah,” katanya.

Dalam tempoh sama KDN membuat beberapa penambahbaikan terhadap JKPWAS dengan mewujudkan struktur baharu.

Ini membabitkan  JKPWAS Induk dipengerusikan bersama Menteri Dalam Negeri serta Ketua Menteri Sabah. – SabahNewsToday