Pilih Bahasa

Ewon alu-alukan bekas pelajar SMK Bundu Tuhan sertai reunion, 1 Jun

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan semua bekas pelajar SMK Bundu Tuhan Ranau menghadiri seterusnya memeriahkan Majlis Reunion di Mount Kinabalu Heritage Resort & Spa, Kundasang pada 1 Jun‬ ini.

Beliau yang juga bekas pelajar SMK Bundu Tuhan Ranau berkata, antara tujuan reunion itu ialah untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara bekas-bekas pelajar dan guru-guru sekolah itu.

Ewon (duduk tengah), Jaineh (duduk kiri) dan Dr.Lilian (duduk kanan) bergambar bersama ahli jawatankuasa Persatuan Alumni SMK Bundu Tuhan Ranau, selepas kunjungan hormat itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“SMK Bundu Tuhan telah melahirkan ramai pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang kepakaran termasuk bidang kedoktoran, politik, kejuruteraan, pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan banyak lagi.

“Oleh itu, saya berharap melalui program ini, kita dapat bertukar-tukar fikiran bagaimana membantu pihak sekolah atau rakan-rakan dalam Alumni terutama yang memerlukan bantuan selaras dengan tema Reunion “Pendidikan Asas Kejayaan dan Persahabatan Harmoni”,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada ahli jawatankuasa Alumni SMK Bundu Tuhan yang diketuai oleh Pengerusi Alumni Jaineh Lingi, di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, di sini, pada Isnin (hari ini).

Ewon menerima cenderakenangan daripada Jaineh. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Turut serta dalam kunjungan itu ialah Dr. Lilian Gungkat (Timbalan Pengerusi), Jusliah Ghani (Setiausaha), Marryan Razan (Timbalan Setiausaha), Martina Ginduk (Timbalan Bendahari) dan ahli jawatankuasa Jolity Bollah, Jueneh Sumping, Dr. Sainah Limbasan, Henry Gungkat, Elvachristea Intang dan Emily Maguntas.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian memuji usaha bekas pelajar sekolah itu atas kejayaan menubuhkan dan mendaftarkan Alumni untuk manfaat semua ahli dan warga sekolah SMK Bundu Tuhan.

“Alumni atau bekas pelajar dan kakitangan sesebuah sekolah berperanan penting dalam mencetuskan kecemerlangan sekolah melalui jalinan kerjasama dengan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Oleh itu, saya menyarankan agar semua sekolah dapat menubuhkan persatuan alumni bagi memberi peluang kepada bekas pelajar kembali berkhidmat kepada komuniti mereka di kampung seterusnya menyumbang semula dalam program-program kecemerlangan pendidikan.

“Berdasarkan pengalaman kami di SK Kiau di mana saya sendiri dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau, banyak yang telah kami lakukan bersama untuk membantu pihak sekolah, bukan hanya program-program kecemerlangan tetapi juga pembangunan infra di bekas sekolah kami,” katanya.

Sementara itu Jaineh berkata, antara tujuan kunjungan itu adalah untuk mengundang dan melantik Datuk Ewon sebagai tetamu kehormat dan penaung Alumni SMK Bundu Tuhan Ranau.

Pelbagai acara menarik disusun sepanjang majlis itu. Antaranya, cabutan tiket bertuah dan persembahan kebudayaan daripada Kumpulan Sinuau Highlander dari SMK Bundu Tuhan yang memenangi pertandingan Hiis peringkat negeri di KDCA, baru-baru ini.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk membiayai sedikit keperluan majlis reunion itu.-SabahNewsToday