Pilih Bahasa

Ewon cadang tubuh Persatuan Unduk Ngadau, platform bantu komuniti

Ewon Benedick. – Gambar fail SNT

KOTA KINABALU, 1 Jun (Bernama) — Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mencadangkan Persatuan Unduk Ngadau ditubuhkan sebagai platform rasmi mengumpulkan kesemua bekas unduk ngadau bagi membantu program pembangunan komuniti di negeri ini.

Beliau berkata persatuan itu boleh bekerjasama dengan kerajaan, sektor korporat dan pelbagai rakan strategik lain untuk melaksanakan program kemasyarakatan merangkumi aspek kebajikan, kesihatan, pendidikan, ekonomi, keluarga dan pembangunan infrastruktur di kampung khususnya di luar bandar.

“Saya maklum, peserta unduk ngadau memenangi pertandingan itu akan diberi peranan setahun terlibat dalam program kemasyarakatan. Namun, ia boleh diteruskan sekiranya ada platform rasmi dan kekal untuk mereka menyalurkan pemikiran dan tenaga demi manfaat komuniti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata ketrampilan, kepimpinan dan kewibawaan unduk ngadau bukan hanya pada kejelitaan tetapi semangat Huminodun diharap dapat diterapkan dalam khidmat masyarakat yang benar-benar membawa impak kepada komuniti. 

Ewon turut mengalu-alukan Jawatankuasa Pelaksana Unduk Ngadau bekerjasama dengan kementeriannya untuk mengadakan program pembangunan komuniti luar bandar melalui Program Kampung Sejahtera sekali gus menjadikan ia sebagai satu pengisian utama dalam penganjuran unduk ngadau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata penglibatan unduk ngadau dalam Program Kampung Sejahtera adalah antara pembaharuan diperkenalkan pada tahun ini selain mewajibkan peserta pertandingan ratu cantik itu membuat kajian warisan kebudayaan etnik di daerah masing-masing.

Semalam, Francisca Ester Nain, 25, mewakili Karambunai dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2019 sekali gus mengalahkan 63 peserta lain yang berentap di pentas akhir pertandingan itu di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.

Tempat kedua disandang wakil dari Pantai Manis, Annette Rabecca Januin, manakala tempat ketiga dimenangi wakil Penampang, Letica Casianus Bansin.

— BERNAMA