Pilih Bahasa

Ewon mahu sistem digital profail kampung disiapkan tahun ini

Oleh Sabah News Today

KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mahu Sistem Digital Profail Kampung disiapkan tahun ini bagi membolehkan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dilantik dapat memasukkan data kampung masing-masing.

Beliau berkata, sistem digital profail kampung tersebut yang dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) penting bagi membantu kerajaan merancang bajet pelbagai projek pembangunan luar bandar di negeri ini berdasarkan data-data yang diperolehi melalui sistem tersebut.

Ewon bergambar bersama pengerusi MPKK yang menerima watikah pelantikan. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya telah meminta dan memaklumkan kepada Pengarah UPEN Sabah bahawa sistem itu perlu siap pada pertengahan tahun ini agar MPKK di seluruh Sabah yang telah menerima watikah pelantikan boleh memasukkan data kampung mereka ke dalam sistem itu nanti. Semua pejabat daerah akan memantau dan mengesahkan dahulu data-data yang mahu dimasukkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPKK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek, di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, pada Khamis (hari ini).

Ewon menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Anita (kiri), Arnold (tiga dari kanan) dan Majaran (kanan). Gambar SNT/Ihsan KPLB

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, sistem digital profail kampung merupakan sumber maklumat asas yang akan digunakan bagi setiap perancangan pembangunan kampung dan daerah terutamanya di kawasan luar bandar.

“Saya sudah diberi taklimat mengenai template sistem tersebut dan bersetuju ke atas perincian data yang diperlukan semasa saya mempengerusikan mesyuarat berkaitan ini pada dua bulan lepas.

“Saya diberitahu SABAH.NET sedang membangunkan sistem tersebut. Pada hari ini juga, KPLB Sabah mengadakan satu taklimat khusus kepada pejabat-pejabat daerah antara lainnya berkaitan dengan sistem tersebut.

“Justeru, selepas siap sepenuhnya kelak, saya berharap kita semua dapat memberikan kerjasama untuk menjayakan sistem ini agar dapat memberikan manfaat sepenuhnya kepada Kerajaan dan juga kita semua,” katanya.

Sementara itu, ADUN Tandek Datuk Anita Baranting berharap semua Pengerusi MPKK dapat menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin untuk membantu kerajaan mengenalpasti keperluan dan permasalahan di setiap kampung yang mereka wakili.

“Jangan bekerja hanya kerana elaun tetapi jalankan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab. Sekiranya ada keperluan di kampung masing-masing, Pengerusi MPKK harus membincangkannya dalam mesyuarat untuk memastikan semua keperluan mendesak di kampung berkenaan dapat dikemukakan kepada pihak atasan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengerusi MPKK supaya tidak menyalahgunakan kuasa.

“Sekiranya kita menerima aduan bahawa terdapat pengerusi MPKK tidak berfungsi, tidak menjalankan tanggungjawab atau menyalahgunakan kuasa, kami sebagai pemimpin di kawasan ini tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk membubarkannya untuk pemilihan MPKK yang baru,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Kota Marudu Arnold Joibi, Setiausaha Rendah KPLB Sabah, Majaran Osman dan ketua-ketua parti-parti komponen kerajaan.-SabahNewsToday