Pilih Bahasa

Ewon minta MPKK di Sabah terus jalankan tanggungjawab

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Semua pengerusi, setiausaha dan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sabah harus menjalankan tanggungjawab sepertimana diamanahkan sehingga diberitahu sebaliknya oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata pelantikan MPKK masih merupakan bidang kuasa Kerajaan Negeri, manakala Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembayaran elaun.

Datuk Ewon Benedick. Gambar Fail SNT

“Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri Sabah melalui KPLB Sabah telah menerima peruntukan pembayaran elaun bagi bulan Januari hingga Jun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengesahkan KPLB Sabah telah menerima makluman penangguhan sementara urusan berkaitan MPKK di seluruh negara yang dikeluarkan oleh KPLB Persekutuan.

Beliau berkata demikian kerana telah mendapat banyak pertanyaan daripada Wakil-Wakil Rakyat dan anggota MPKK berkaitan surat pemakluman dari KPLB Persekutuan.

“Surat tersebut, yang sudahpun tular, menerangkan maksudnya, iaitu penangguhan sementara urusan berkaitan MPKK, sementara menunggu perlantikan penuh Kabinet Persekutuan yang baharu.

“Saya akan mengangkat isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada Rabu minggu depan, 11 Mac 2020,” katanya.

Surat bertarikh 4 Mac 2020 itu memaklumkan penangguhan sementara urusan MPKK dan MPKKP sehingga mendapat dasar dan halatuju berkaitan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan baharu.

Surat tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPLB Persekutuan Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.-SabahNewsToday