Pilih Bahasa

EWON PASTIKAN PROJEK “RUBBERISED ROAD” DAPAT DILAKSANAKAN DI SABAH

Oleh Chris Maskilone

Jalan raya Kampung Tambulaung –Podos yang akan dinaiktaraf menggunakan “Rubberised Road Technology”.Gambar SNT/Ehsan KPLB

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick akan memastikan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM100 juta untuk menaiktaraf jalan, dalam Bajet Persekutuan 2019 dapat digunakan untuk melaksanakan “Rubberised Road Technology” di negeri ini.

Sehubungan itu katanya, sebagai projek perintis, kementeriannya akan menggunakan teknologi jalan raya berasaskan getah untuk menaik taraf jalan sepanjang dua kilometer di Kampung Tambulaung – Podos Kota Belud dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

“Dalam Bajet Persekutuan 2019, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk rubberised road. Justeru, kita akan memastikan Sabah merasai sebahagian daripada peruntukan tersebut seperti perjuangan konsisten saya selama ini dalam perkara ini.

Ewon bersama rombongan melawat jalan raya Kampung Tambulaung – Podos.Gambar SNT/Ehsan KPLB

“Selepas pelaksanaan projek perintis ini, saya berharap dapat mempengerusikan pembuatan dasar Kerajaan Sabah menerima teknologi ini dalam projek-projek naiktaraf jalan supaya bukan hanya keperluan tersebut dapat diselesaikan, tetapi dapat mengujudkan permintaan ke atas bahan mentah getah negara dalam industri pembinaan jalanraya sekaligus meningkatkan harga getah yang lebih baik,” katanya.

Ewon (tujuh dari kiri), Dr.Nazirah (enam dari kiri), Liau (lima dari kanan) dan Dr.Lilian (lima dari kanan) bergambar bersama rombongan semasa lawatan tapak jalan raya cadangan. Gambar SNT/Ehsan KPLB

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Projek Perintis “Rubberised Road Technology” di Pejabat Daerah Kota Belud, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Unit Pembangunan Produk dan Kejuruteraan Lembaga Getah Malaysia (LGM) Dr.Nazirah Ahmad, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr.Lilian Gungat, Timbalan Pengurus Besar Operasi Perindustrian Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Liau An Chuan, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Norshafie Dukah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis dan pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Mesyuarat tersebut bertujuan memperincikan data-data teknikal, kajian kebolehlaksanaan, kos pemindahan teknologi dan pelaksanaan projek perintis ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, jalan raya yang telah dikenalpasti untuk projek ini ialah Jalan Tambulaung – Podos sejauh 2 kilometer.

“Projek perintis ini menggunakan cuplump modified bitumen (CMB) iaitu campuran bitumen dengan sekerap getah dalam kerja naik taraf jalan luar bandar.

Ewon (dua dari kiri), Dr.Lilian (kiri) dan Dr.Nazirah (kanan) semasa melawat tapak cadangan kuari di Kampung Tamu Darat Kota Belud. Gambar SNT/Ehsan KPLB

“Ini adalah jalan pertama di Sabah menggunakan hasil kajian teknologi oleh LGM dan sebahagian besar kosnya akan dibiayai oleh LGM,” katanya.

Selepas mesyuarat itu, Ewon serta jawatankuasa bersama-sama melawat tapak jalan raya cadangan tersebut dan tapak cadangan kuari CMB bagi projek perintis Rubberised Road Technology di kawasan Kadamaian.-SabahNewsToday/KPLB