Pilih Bahasa

Ewon saran Alumni SMK Bundu Tuhan bantu perkasa pendidikan

Oleh Alfred Petrus

Ewon (tiga kanan) menerima cendera kenangan daripada Jaineh. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KUNDASANG: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick mahu Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bundu Tuhan Ranau terus membantu sekolah itu melalui pelbagai program yang  dirancang untuk kecemerlangan pelajar di sekolah lama mereka.

Beliau yang juga penaung alumni itu berkata antara program yang boleh dilaksanakan ialah dengan menganjurkan anugerah pelajar cemerlang dan mewujudkan tabung pendidikan untuk membantu anak-anak alumni atau pelajar sekolah itu yang memerlukan bantuan.

“Selain bantuan kerajaan, saya percaya sumbangan alumni yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang akan dapat membantu memperkasakan lagi pendidikan dan kecemerlangan pelajar khususnya di SMK Bundu Tuhan.

“Oleh itu saya menyeru agar semua bekas pelajar SMK Bundu Tuhan mendaftar sebagai ahli alumni bagi membolehkan kita bekerjasama menjayakan matlamat persatuan,” katanya dalam ucapan perasmian  Majlis Reunion dan Pelancaran Alumni SMK Bundu Tuhan Ranau, di Mount Kinabalu Heritage Resort & SPA Kundasang, di sini semalam.

Ewon (enam kiri) bergambar bersama penari dari SMK Tandek Kota Marudu yang turut membuat persembahan pada majlis itu. – Gambar SNT/Ihsan KPLN

Katanya beliau amat berbangga kerana SMK Bundu Tuhan berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang dan kini berjaya dalam bidang masing-masing.

“Sebagai alumni SMK Bundu Tuhan, saya turut berbangga dengan pencapaian sekolah inii dan berharap dapat menyumbang semula kepada pengisian kecemerlangan sekolah melalui persatuan ini.

“Saya berharap kita dapat bersama-sama merealisasikan perancangan alumni demi kebaikan dan manfaat semua warga sekolah. Tahniah kepada barisan ahli jawatankuasa alumni atas kejayaan penubuhan dan pendaftaran persatuan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Alumni Jaineh Lingi berkata persatuan itu telah merangka pelbagai program  jangka panjang untuk menyediakan bantuan insentif kepada pelajar cemerlang anak-anak alumni, bantuan memulakan persekolahan kepada pelajar yang memerlukan dan membantu mempermudahkan urusan bantuan kewangan permulaan untuk pelajar melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi.

Selain itu, katanya perancangan dalam masa terdekat ialah menganjurkan perkhemahan kecemerlangan pelajar sebelum peperiksaan SPM dan mengadakan program motivasi kepada pelajar dan ibu bapa.

“Alumni SMK Bundu Tuhan juga akan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengenalpasti pelajar yang memerlukan bantuan akademik dan material

“Saya percaya semua program yang kita rancang ini akan dapat dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama semua bekas pelajar,” katanya.

Jaineh berkata Alumni SMK Bundu Tuhan ditubuhkan dan didaftarkan secara rasmi pada 15 Mac 2019 sebagai platform kepada semua bekas pelajar dan kakitangan yang pernah bersekolah atau berkhidmat di sekolah itu untuk kembali berbakti kepada sekolah mereka.

SMK Bundu Tuhan bermula dari satu kelompok pelajar yang kecil dengan hanya menumpang di balai raya pada tahun 1979 seterusnya menumpang di SK Bundu Tuhan dan kini mempunyai bangunan sendiri. – SabahNewsToday