Pilih Bahasa

Ewon teruskan tradisi berbuka puasa bersama masyarakat Islam di kawasan

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick meneruskan tradisinya berbuka puasa bersama masyarakat Islam setiap kali tiba bulan Ramadan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kadamaian.

Beliau yang juga Adun Kadamaian memulakan amalan berbuka puasa itu sejak enam tahun lalu sebelum menjadi wakil rakyat kawasan itu atas keprihatinan dan untuk mengukuhkan ikatan persahabatan yang sedia terjalin diantara masyarakat Islam dan bukan Islam di kawasan berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada pengerusi-pengerusi Masjid di kawasan Dun Kadamaian atas kesudian menjemput saya berbuka puasa bersama penduduk kampung.

“Tradisi seumpama ini harus diteruskan untuk mengukuhkan perpaduan, persefahaman dan menerapkan budaya hormat menghormati antara satu sama lain yang berbeza anutan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk kampung di perkarangan Masjid Kampung Tambulion, di sini, kelmarin.

Ewon turut mengulangi komitmennya untuk  terus membantu menyediakan keperluan di rumah-rumah ibadat termasuk Masjid, Surau dan Gereja di kawasan Dun Kadamaian.

Ewon bersama penduduk Kampung Tambulion. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya berharap kerjasama dan kerja berpasukan yang kita amalkan sejak sekian lama di kawasan ini akan terus diperkukuhkan bagi memudahkan kita menyalurkan peruntukan atau bantuan yang diperlukan masyarakat kampung,” katanya.

Pada majlis itu Ewon menyampaikan sumbangan sejumlah RM10,000 iaitu RM5000 untuk membiayai kos baikpulih pondok perkuburan orang Islam di Kampung Tambulion, RM3,000 untuk Tabung Masjid Tambulion dan masing-masing RM1,000 untuk Kelab Kebajikan Kadamaian dan Lembaga Pelawat Hospital Kota Belud.

Sebelum ini Ewon turut menghadiri Majlis Iftar Ramadhan (Nurul Al-Quran) anjuran Jabatan Kemas dengan kerjasama Badan Dakwah Daerah dan Masjid Kg.Rajunah Kota Belud, di masjid kampung itu.

Ewon menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Masjid Tambulion, Hamrin Nuar. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Pada majlis berbuka puasa di Kampung Rajunah, beliau menyampaikan sumbangan sejumlah RM6,000 iaitu masing-masing RM3,000 untuk Tabung Masjid dan Ziarah -SabahNewsToday